Selasa, 6 Ogos 2019

Sifat berpura-pura pemimpin PKR punca polemik politik

Muhammad Azizul Osman
farhash
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
 
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, surat sokongan buat presiden menjelaskan hasrat pucuk kepimpinan dan akar umbi yang mahukan kesinambungan reformasi di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah katanya, sifat kepura-puraan sesetengah pemimpin di dalam parti telah menjadi punca polemik politik yang membuatkan beberapa ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH) berasa tidak selesa dengan perkembangan ini.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah sangsi akan penobatan beliau sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8 yang sudah termaktub di dalam manifesto PH bagi PRU-14.

“Namun ada segelintir pihak yang mempunyai ‘muslihat tersendiri’ sebagaimana yang disebut Abdul Yunus Jamhari untuk melagakan pemimpin PH dengan presiden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Farhash yang juga Setiausaha Politik kepada Anwar turut berkata PKR Perak tidak masalah sekiranya ahli parti mahupun Ketua Cabangnya ingin melafazkan ikrar taat setia dan menyokong penuh presiden demi merapatkan saf.

“Jika sekiranya ada yang enggan memberikan sokongan dan kemudian dipersoalkan oleh media atau ahli parti sendiri sebagai ingkar, saya rasa itulah hak mereka tapi persepsi negatif jatuh kepada mereka.

“Selaku Pengerusi PKR negeri saya terima keengganan Abdul Yunus dan Chua Yee Ling walaupun saya tidak beberapa gemar namun inilah demokrasi,” katanya lagi.

Farhash merujuk kepada keengganan Abdul Yunus selaku Ketua PKR cabang Parit Buntar yang enggan menandatangani surat sokongan kepada Anwar yang ditandatangani oleh 22 Ketua Cabang PKR.

Abdul Yunus antara dua Ketua Cabang yang enggan berbuat demikian bersama Ketua Cabang Bukit Gantang, Yee Ling. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: