Penulis Fa Abdul menafikan tulisannya berkaitan khat
cuba menyamakan seni itu dengan tahi lembu, seperti didakwa oleh
pemimpin PAS dalam akhbar web rasminya Harakahdaily.
“Sesiapa
yang punya daya intelek pastinya akan dapat mentafsir maksud saya tanpa
memutar belitkan kata-kata saya,” katanya menjawab soalan Malaysiakini.
“Bagi
yang kurang faham bahasa Inggeris, perenggan terakhir saya berbunyi
begini: ‘Tatkala menteri pendidikan negara jiran kita membuat
perancangan untuk memperkenalkan coding kepada pelajar-pelajar
sekolah yang muda, usahlah kita bertindak bagaikan mencalit tahi lembu
di muka dengan memperkenalkan khat’”
Fa juga mengingatkan pembaca supaya meneliti secara menyeluruh tulisannya itu.
“Artikel
saya mengandungi banyak perkataan, ayat dan perenggan. Janganlah hanya
fokus pada perkataan-perkataan yang sensasi sahaja.
“Artikel saya harus difahami secara menyeluruh,” tegurnya.
Harakahdaily pada
3 Ogos lalu menyiarkan tulisan bekas pegawai Presiden PAS Abdul Hadi
Awang, Roslan SMS, bertajuk “Khat Jawi disamakan MP DAP dengan tahi
lembu”.
Roslan menyerang anggota parlimen DAP Lim Lip Eng yang berkongsi tulisan Fa di Malaysiakini itu di Facebook beliau.
“Tiba-tiba
Lip Eng dalam keghairahan menolak langkah pihak kementerian ini telah
menggunakan bahasa yang amat biadab malah menghina orang-orang Melayu
amnya.
“Memperkenalkan tulisan khat Jawi disamakan ahli parlimen
ini sebagai menyapu tahi lembu di wajah kita semua. Jawi sama dengan
najis?” tulisnya.
Roslan SMS
Pada 6 Jun, ahli Parlimen Kepong itu memohon maaf atas perkongsian petikan tersebut.
Beliau
mengakui membuat kesilapan apabila berkongsi pandangan itu tanpa
meletakkan nama penulis menyebabkan banyak pihak menyangka itu adalah
pandangannya.
Hantarannya itu menyebabkan beliau dihujani kecaman.
‘Ajar juga canting, batik, buat wau’
Sementara
itu, Fa berkata dalam tulisan itu beliau sebenarnya menggesa supaya
sistem pendidikan negara tidak dimalukan dengan pelaksanaan itu.
Katanya, terdapat pelbagai kemahiran lain yang boleh dimasukkan dalam sistem pendidikan.
Fa menambah, dia menyokong seni khat dipelajari di sekolah tetapi bukan di dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia.
Baginya,
ia sepatutnya diajar menerusi subjek Pendidikan Seni atau dalam
kokurikulum melalui kelab-kelab dan persatuan di sekolah.
“Bukan
sahaja seni khat, malahan seni mencanting batik, membuat wau dan
macam-macam lagi boleh diajar kepada anak-anak muda kita agar mencintai
seni tradisional kita.
“Tetapi bagi pembelajaran di dalam kelas
bagi sukatan mata pelajaran yang amat penting seperti Bahasa Melayu,
amatlah mustahak untuk kita merangka sukatan yang benar-benar dapat
menaikkan prestasi pelajar-pelajar kita,” katanya.
Bagaimanapun,
katanya memandangkan Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan negara
ini, dia berharap supaya setiap pelajar dapat fasih berbahasa Melayu
dan cekap menggunakannya setelah tamat sekolah.
“Pada pendapat
saya, dengan memperkenalkan perkara-perkara baru yang kurang penting di
dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, kita hanya menyukarkan
pelajar-pelajar yang kurang cekap berbahasa Melayu menguasai bahasa
kebangsaan kita,” katanya.
Kementerian Pendidikan memutuskan
untuk memperkenalkan enam muka surat berkaitan seni khat dan tulisan
Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah Cina dan Tamil
mulai tahun depan.
Ia bertujuan sebagai pengisian tambahan dalam
aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai
seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan