PETALING JAYA: Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata, kemarahan orang bukan Melayu terhadap langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan khat jawi kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular menunjukkan lompang keyakinan yang wujud dalam masyarakat berkenaan berikutan “janji mungkir dan layanan tidak adil selama 61 tahun”.
Beliau berkata, masyarakat itu melihat keputusan berkenaan sebagai unilateral dan dibuat tanpa rundingan awal dengan pemegang taruh, selain menambah bahawa banyak pihak masih tidak mempercayai penjelasan yang diberikan dalam pelbagai sesi rundingan yang diadakan.
“Kegagalan mengadakan rundingan awal merupakan sebab kenapa masyarakat bukan Melayu tidak gembira, tidak mempercayai penjelasan yang diberikan dan terus menggesa ia ditangguhkan sehingga rundingan diadakan,” katanya.
Beliau juga mengkritik apa yang dinamakannya “laporan menyeleweng” berkenaan keputusan Kabinet mengenai pelajaran khat untuk murid Tahun 4 di sekolar vernakular, dengan berkata adalah tidak benar pelajaran khat akan diwajibkan.
Sebaliknya Lim, yang juga merupakan menteri kewangan berkata, Kabinet memutuskan bahawa pelajaran khat bukan sahaja satu pilihan, tetapi akan menyaksikan jumlah muka surat mengenainya dalam buku teks Bahasa Melayu dikurangkan kepada 3.
Lim menyuarakan kekesalannya berhubung campur aduk antara skrip jawi dan Arab dengan berkata, ia hanya meningkatkan rasa bimbang berhubung “Islamisasi sekolah rendah Cina dan Tamil”.
Katanya, skrip jawi dan Arab adalah berbeza “seumpama tulisan Jerman dan Inggeris”.
Kontroversi mengenai jawi dan khat tercetus selepas Kementerian Pendidikan berkata, ia akan memperkenalkan pelajaran khat jawi sebagai sebahagian daripada silibus Bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular.
Berikutan bantahan keras pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil, Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata semlam bahawa pelajaran khat hanya merupakan satu aktiviti, bukannya satu subjek pelajaran khusus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan