Kajian Pasukan Petugas Dasar UEC hanya laluan mengiktiraf UEC
HAIRAN
sungguh saya dengan timbalan menteri pendidikan ultra kiasu ini.
Sepatutnya dia bercakap bagi pihak kerajaan bukan bagi pihak Sijil
Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina.
UEC masih
dalam peringkat kajian untuk diiktiraf oleh kementerian beliau sendiri.
Takkan beliau tidak maklum perkara ini? Tidak perlu mengeluarkan apa jua
kenyataan apatah lagi menyokong seperti yang dilakukannya.
Beliaulah
orang yang pertama mengucapkan tahniah apabila Lembaga Kelayakan
Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) yang diketuai Peguam Negara
sendiri membuat pengumuman mengiktiraf UEC.
Menteri
ultra kiasu ini melahirkan rasa gembira UEC pada tahap Senior Middle 3
diiktiraf sebagai kelayakan pada peringkat Sijil Tinggi Pelajaran
Malaysia (STPM) dan A-Levels untuk menduduki Peperiksaan Sijil Amalan
Guaman (CLP), dan berharap semua pihak tidak mempolitikkan keputusan
LPQB itu.
Bukan soal
mempolitikkan LPQB, tetapi LPQB telah mendahului kerajaan. Benar, ia di
bawah bidang kuasa LPQB, tetapi tunggulah dulu kajian kerajaan yang
diwakili oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Siapa lebih berkuasa?
Kerajaan atau Peguam Negara.
Keadaan ini, jelas memperlihatkan kajian yang sedang berlangsung, yang dilakukan oleh Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC), adalah laluan untuk mengiktiraf UEC. Itu yang saya katakan, membazirkan duit rakyat sahaja.
Saya mohon
KPM supaya memerhati dengan rapi pergerakan timbalan menteri pendidikan
ultra kiasu ini. Pergerakannya sangat licik dan kadang kala mendahului
menteri beliau sendiri.
Tidak
sepatutnya beliau mendahului menteri kerana beliau hanya timbalan.
Timbalan mesti tertakluk kepada menteri dan tidak boleh bertindak
sendirian dan mengeluarkan kenyataan sewenang-wenang mendahului menteri.
Perlu diingat bahawa beliau berada dalam kerajaan dan bukan dalam parti
ultra kiasu dan NGO ultra kiasu seperti Dong Zong dan Jiao Zong.
Sepatutnya
beliau mengeluarkan kenyataan dan nasihat bahawa UEC mesti patuh kepada
segala terma dan syarat KPM. KPM adalah institusi tertinggi dalam
menentukan hala tuju pendidikan negara.
Pengiktirafan
UEC adalah tindakan zalim dan tidak berlaku adil kepada pelajar Cina
yang lain berada dalam sistem kebangsaan, seperti Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC).
Bayangkan
pelajar Cina yang berada dalam sistem, bertungkus lumus belajar,
sehingga mendapat keputusan yang baik. Tiba-tiba terpaksa bersaing
dengan pelajar UEC yang terkeluar daripada sistem pendidikan negara ini.
Nyata sekali UEC bukan sahaja mengganggu sistem pendidikan sedia ada,
tetapi turut menghalang pelajar Cina yang lain.
Sejak
dahulu lagi, UEC keras kepala. Tidak pernah mahu mengalah. Mereka tahu,
dan memang tahu, bahawa kerajaan sejak dahulu, hingga kini, masih tidak
mengiktiraf. Keadaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan diterima,
seperti kemasukan ke universiti awam dan perkhidmatan kerajaan.
Mereka
tahu semua ini… sangat tahu, tetapi mereka teruskan juga. Kenapa? Kerana
mereka keras kepala dan mahu mencabar kerajaan. Mereka tahu suatu hari
ini kerajaan mesti akan mengiktiraf UEC disebabkan oleh tekanan politik
membabitkan undi. Peliknya, kenapa kita terus memberi muka?
Lebih
menyedihkan lagi apabila, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
berkata tiada masalah untuk menerima pakai UEC bagi menduduki CLP,
asalkan dasar bahasa dan pendidikan kebangsaan dimartabatkan. Katanya,
kerajaan perlu memastikan mata pelajaran asas seperti Bahasa Melayu dan
Sejarah diambil kira untuk dimasukkan dalam UEC.
Tahukah
pemimpin PKR ini bahawa UEC tidak pernah patuh kepada syarat yang
ditetapkan oleh KPM sejak dahulu hingga kini. Kurikulum, silibus dan
peperiksaan mereka semuanya dikendalikan oleh NGO-NGO mereka iaitu Dong
Zong dan Jiao Zong. KPM seolah-olah tidak ada peranan di situ.
Kenyataan
Anwar yang dipetik dalam Berita Harian (31 Mac 2019), “Kita serah kepada
Kementerian Pendidikan untuk meneliti… setakat kita tahu, memang mereka
ikut kerana ia berpandukan kurikulum SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). ”
Sejak bila
mereka ikut? Sejak bila pula kurikulum mereka berpandukan SPM?
Peperiksaan SPM dan STPM dikawal oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM)
dan Majlis Peperiksaan Malaysia, sedangkan UEC langsung tidak mendapat
kebenaran atau kelulusan LPM dan MPM.
Sijil
ultra kiasu UEC ini tidak pernah ikut arahan LPM dan MPM? Yang ada
adalah lembaga peperiksaan mereka sendiri dalam kalangan Dong Zong dan
Jiao Zong. Mana ada sistem seperti ini di dunia, NGO menentukan hala
tuju pendidikan negara dan turut mengeluarkan sijil kepada pelajar
mereka. Jika asas sebegini tidak dipatuhi, kita mahu bercakap apa lagi?
Saya sudah
letih bercakap isu ini sejak dahulu hingga kini. Tidak pernah selesai
hanya kerana kemarukkan undi. Kerana undi yang membabitkan peralihan
kuasa, kita sanggup korbankan agenda dan maruah negara. Saban hari saya
menjadi hairan dan pelik. Kita nak bawa ke mana pendidikan negara ini?
Perlu
diingat, agenda UEC, bukan hanya agenda DAP, tetapi MCA dan Gerakan.
Mereka berjuang mempertahankan sekolah persendirian Cina ini bukan
baharu, tetapi sejak dahulu lagi.
Cina
bersatu dalam segala bidang termasuk pendidikan, tidak mengapa, tidak
ada siapa halang.
Begitu juga dengan India. Pelik bin hairan apabila ada
Melayu/Islam yang baharu sahaja mengajak untuk kita semua bersatu, maka
ada suara-suara macai kuda tunggangan yang berkata itu adalah rasis dan
Taliban. Kebodohan dan kejahilan jenis apakah ini?


Tiada ulasan:
Catat Ulasan