Ahad, 7 April 2019

Syarhah – ibu semua anak terbuang


   


WAWANCARA | Syarhah Mohd Tahir sebak, matanya berkaca, ketika membaca sepucuk surat ibu kandung (gambar bawah) yang ditinggalkan bersama anaknya dalam peti pelindung bayi.


Syarhah, 45, pegawai pentadbir projek Peti Pelindung Bayi di Petaling Jaya percaya tidak ada manusia sempurna di dunia.

"Jika kita sebagai manusia pernah melakukan maksiat, jangan kita menghukum anak itu kerana mereka perlukan kasih sayang walaupun bukan dari ibu kandung,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini.

Projek itu dikelolakan oleh Yayasan Orphancare, organisasi yang ditubuhkan pada 2008 oleh aktivis Mohd Adnan Mohd Tahir.


Syarhah Mohd Tahir 
Ia merangkumi program seperti Peti Pelindung Bayi atau lebih dikenali sebagai baby hatch dan rumah jagaan ibu mengandung luar nikah.

Baby hatch ditubuhkan pada tahun 2010 dan mempunyai tiga cawangan di Selangor, Johor dan Kedah.

Yayasan ini meletakkan sebuah peti meletakkan bayi di luar pejabatnya yang merupakan sebuah rumah di kawasan perumahan di Jalan Gasing.

Peti itu disiapkan dengan beberapa kemudahan seperti kamera litar tertutup, tilam, pendingin hawa serta lampu untuk memberi keselesaan kepada bayi yang diletakkan di situ.

Keluarga buat si cilik

Sepanjang hampir 10 tahun beroperasi, yayasan itu sudah menyelamatkan lebih 218 bayi dan menyerahkannya kepada hospital kerajaan sebelum diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Syarhah sudah menjadi sukarelawan di situ sejak awal berkata beliau melakukannya atas dasar ingin melindungi bayi yang tidak bersalah.

“Meletakkan bayi dalam peti kami bukan satu jenayah. 

“Tapi bila ibu kandung membuang bayi mereka di tong sampah sehingga digigit semut atau anjing, itu jenayah,” tambahnya.


Peti Pelindung Bayi di rumah Yayasan Orphancare.
Ibu seorang anak itu berkata mereka percaya usaha itu dapat memberikan sebuah keluarga kepada anak-anak terbuang.

“Kenapa kami bina baby hatch? Sebab bila orang buang bayi, yang hidup semua akan diletakkan di rumah anak yatim.

“Jadi kami bina baby hatch untuk memberi anak-anak ini hidup berkeluarga,” katanya.

Menceritakan kemudahan di rumah itu, Syarhah berkata peti bayi disediakan dilengkapkan dengan sistem keselamatan untuk melindunginya.

“Ia (peti) akan terkunci secara automatik setelah ibu kandung meletakkan bayi mereka dan lantas kami akan mendengar bunyi siren yang kuat.

“Tujuan kami melakukan sedemikian adalah untuk mengelakkan masalah penculikan bayi berlaku,” kata Syarhah. 

Beliau juga mendedahkan terdapat ibu kandung yang menuntut anak mereka selepas diserahkan kepada mereka.

Bahkan, katanya, ia sering berlaku.

“Jika mereka sudah meletakkan bayi tersebut dan ingin menuntut kembali, kami akan minta untuk melakukan laporan polis dan ujian DNA (ujian yang mengesahkan hubungan antara ibu dan anak) untuk kepastian,” jelas Syarhah.

Bayi kudung, sumbing

Mengimbas kenangannya, masih segar dalam ingatan Syarhah ketika mula mendapat bayi pertama dari baby hatch, seolah-olah seperti semalam kejadian itu berlaku.

“Saya masuk kerja hari Sabtu dan pagi Isnin saya dah dengar bunyi siren menandakan orang letak bayi.

“Ketika buka pintu, saya terlihat seorang bayi perempuan kudung tangan kanannya dan sumbing serta disahkan jantung berlubang.

“Sebab anak ini tidak sempurna, mahkamah perintahkan saya untuk menjaga bayi tersebut,” katanya.


Kasih ibu. Gambar hiasan.
Namun begitu, Syarhah memberitahu ada yang sanggup menerima anak tersebut walaupun dalam keadaan yang tidak sempurna.

“Alhamdullilah, kami menemukan keluarga yang sesuai, dan saya melepaskan anak tersebut dalam jagaan mereka.

“Sampai sekarang anak itu bahagia di samping keluarga angkatnya,” tambah Syarhah dengan riak wajah jelas terpapar kerinduan.

Bayi istimewa itu satu-satunya anak yang dijaga mereka dari kecil kerana diperintahkan mahkamah. Si cilik kini sudah berusia 14 tahun dan sedang menuntut di tingkatan dua.

'Menangis sebelum serah anak'

Walaupun apa pandangan masyarakat, Syarhah berkata meluahkan rasa hormat kepada semua wanita terlanjur yang melepaskan anak mereka dalam jagaan Orphancare.

“Saya hormat ibu kandung yang letak bayi di situ (baby hatch) kerana mereka utamakan keselamatan anak.

“Mereka nak anak mereka hidup, saya tahu itu,” tambah Syarhah.


Beliau bercerita pernah ternampak ibu kandung yang meletakkan anaknya di peti tersebut.

“Saya kadang-kadang ada juga lalu ke arah peti itu dan nampak orang (ibu kandung) letak bayi.

“Semua yang letak bayi mereka mesti akan menangis. Jadi tak boleh bayangkan macam mana orang tergamak hendak buang bayi mereka.

“Jangan buang, beri kepada kami, kami jaga,” Syarhah berkata dengan nada merayu.


Tiada ulasan: