Rabu, 10 April 2019

Polis siasat dakwaan bas pekerja berlumba

Irwan Shafrizan Ismail
 


POLIS sedang menyiasat dakwaan bas pekerja yang terjunam ke dalam longkang dan mengorbankan 12 nyawa di Jalan S8 Pekeliling, Sepang, Ahad lalu berlumba dengan bas lain.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah, berkata, dakwaan itu dibuat seorang penumpang yang terselamat dalam keterangannya kepada polis.

Justeru, katanya, siasatan terperinci akan dilakukan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran termasuk melihat kepada bukti lain bagi memgenalpasti betul atau tidak dakwaan bas terbabit berlumba.

“Kita akan siasat dakwaan ini, buat masa sekarang rakaman CCTV kurang jelas dan kita akan cari lagi bukti lain termasuk melihat pergerakan bas berkenaan sebelum memasuki Bulatan Minyak.

“Hasil keterangan saksi, kita juga mendapati bas itu dibawa dengan laju, kita juga akan siasat sama ada bas itu mengalami kerosakan lain kerana tiada kesan brek di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Zulkifli berkata, bas pekerja itu akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dalam masa terdekat untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut, buat masa ini kenderaan itu masih ditempatkan di IPD KLIA.

“Setakat ini 14 saksi sudah dipanggil untuk memberi keterangan. Bagi bas berkenaan kita kena periksa kalau ada masalah kegagalan mekanikal,” katanya.

Selain itu katanya, pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat terhadap pemandu bas berkenaan dari Hospital Serdang dan perkembangan baharu mengenainya akan dimaklumkan nanti.

Dalam kejadian Ahad lalu, 12 mangsa maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MASkargo di KLIA.

Kejadian yang berlaku pada 11.10 malam itu mengorbankan lima warga Bangladesh, dua warga Nepal, empat orang wanita warga Indonesia serta seorang warga tempatan yang juga pemandu bas pekerja berkenaan.

Ketika kejadian, bas berkenaan sedang dalam perjalananke MASkargo selepas mengambil 43 pekerja dari asrama mereka di Putra Nilai, Negeri Sembilan dan pekerja berkenaan sepatutnya masuk bekerja untuk syif 12 tengah malam.

Seramai 16 penumpang bas yang terbabit dalam nahas itu masih ditempatkan di hospital bagi mendapatkan rawatan.

Berita berkaitan:

  • Bas dihantar ke PUSPAKOM
  • Polis teliti rakaman CCTV
  • Mayat pemandu bas dituntut keluarga
  • 'Kalau ada salah laku, tarik lesen
  • 'MASkargo bantu urus penghantaran pulang jenazah
  • 'Mangsa dalam bas berterabur' [METROTV]
  • Bas terjunam: Kematian cecah 12 orang
  • Pemandu bas tiada rekod kesalahan lalu lintas
  • Kenapa bas ikut laluan berbeza?
  • Bas terbabit nahas sudah dialihkan
  • [UPDATE] Mangsa kakitangan Mutiara Kayamas
  • [UPDATE] Seorang lagi penumpang maut [METROTV]
  • 10 maut nahas bas pekerja
  • Tiada ulasan: