Sektor automotif dapat jana 'spin-off' bagi keseluruhan ekonomi negara
SERDANG
– Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin hasrat Malaysia untuk
mewujudkan jenama kereta nasional baharu adalah penting dan akan
memesatkan lagi pembangunan industri automotif negara.
“Projek
ini dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi baharu serta tenaga
kerja pakar baharu terutama dalam mempelajari teknologi kejuruteraan
automotif terkini” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Autoshow
2019, di sini hari ini.
Dr
Mahathir berkata, perancangan untuk pembangunan industri automotif
adalah berdasarkan pendekatan untuk membudayakan Malaysia dengan
teknologi-teknologi masa depan yang canggih, justeru menjadikan Malaysia
sebuah negara industri yang sistematik dan lestari.
“Pendekatan
yang diambil adalah berasaskan teknologi tinggi, yang menumpukan kepada
pelaburan strategik dalam pembangunan rantaian bekalan tempatan dan
peluang perniagaan baharu yang bersifat inovatif,”katanya.
Dr
Mahathir berkata, sektor automotif juga dapat menjana “spin-off” bagi
keseluruhan ekonomi Malaysia agar dapat diselaraskan dengan perkembangan
global.
Katanya,
di Malaysia, terdapat 27 pengeluar jenama kenderaan merangkumi jenama
nasional serta antarabangsa, di samping lebih dari 700 vendor, 53,000
pengedar, penjual dan pusat servis, dan juga lebih 700,000 individu yang
bekerja di dalam sektor automotif dan mobiliti.
Memetik
statistik Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Dr Mahathir berkata,
598,714 unit kereta dijual tahun lepas, yang merupakan peningkatan 3.8
peratus berbanding tahun sebelumnya, dan daripada jumlah itu, 62 peratus
adalah kenderaan cekap tenaga.
“Dari segi
eksport pula, Malaysia mengeksport kenderaan berjumlah RM2 billion, dan
eksport komponen automotif tempatan pula mencecah RM12 billion,”
katanya.
Dr
Mahathir berkata, penggunaan aplikasi robotik dan Internet of Things
(IoT) dalam sektor automotif akan mempunyai kesan limpahan yang akan
mampu menggalak pertumbuhan ekonomi dan teknologi di sektor lain seperti
pertanian, kesihatan dan pertahanan.
Beliau
berkata, pelancaran Dasar Negara mengenai Industri 4.0 pada Oktober
tahun lepas merupakan usaha kerajaan agar pembangunan industri di
Malaysia bergerak selari dengan perkembangan global termasuk industri
4.0.
“Dasar itu
merangka transformasi industri untuk menjadi lebih pintar dan mampan
yang akan dipacu oleh manusia, proses dan teknologi,” katanya.
Beliau
berkata, dasar itu menyediakan rangka kerja dalam transformasi digital
Malaysia bagi sektor perkilangan serta perkhidmatan, oleh itu pihak
industri perlu mengambil peluang itu untuk membawa perniagaan mereka
kepada tahap yang lebih tinggi dalam rantaian nilai, katanya.
Dr
Mahathir berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) sedang menjalankan kajian semula Dasar Automotif Nasional, yang
akan meliputi keseluruhan ekosistem automotif dan disokong oleh elemen
teknologi baru iaitu Next Generation Vehicle (NXGV), Mobility as a
Services (MaaS) dan Revolusi Industri 4.0 termasuk Artificial
Intelligence (AI).
“Dasar
Automotif Nasional yang akan diperkenalkan adalah satu dasar yang
holistik yang merangkumi pembangunan industri automotif yang
komprehensif seperti pembangunan rantaian bekalan, modal insan,
aftermarket dan lain-lain,” katanya.
Dr
Mahathir berkata, Malaysia Autoshow 2019, anjuran Malaysia Automotive,
Robotics and IoT Institute (MARii) itu dijangka menarik minat seramai
hampir 350,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
Katanya,
32 syarikat pengeluar kenderaan (OEM) dan 170 pampamer dari tujuh negara
mengambil bahagian dalam pameran kenderaan terbesar di Malaysia itu.
Pada acara
tersebut, Dr Mahathir turut melancarkan Perodua Bezza baharu edisi
terhad serta Proton Iriz dan Persona 2019.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan