Selasa, 16 April 2019

PH sudah ubah ‘hantu’ jadi nyata

siti hafidah

Beza pendekatan tapi PAS dan UMNO wajib bersatu pertahan Islam

BANGI – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan segelintir generasi baharu pendukung parti yang berada di luar kotak peristiwa kontrak sosial, mempunyai pemikiran ‘berhantu’ untuk melakukan perubahan dengan mengumpul pelbagai jenis fahaman dan ideologi.

Katanya, generasi yang baru lahir selepas peristiwa kontrak sosial itu tidak mengambil iktibar daripada sejarah agama, bangsa dan tanah air.

“Ini menjadikan pemikiran mereka ‘berhantu’ untuk membuat perubahan yang dijenamakan reformasi dengan mengumpulkan segala jenis fahaman mahupun ideologi, termasuk kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) – pembawa penyakit ganjil yang membarah dan menjadi mukadimah kepada kemusnahan negara Barat.

“Perubahan kerajaan kepada PH telah mengubah hantu-hantu menjadi nyata, apabila berlakunya tindakan terbuka dan kenyataan yang terpampang menunjukkan usaha merungkai Kontrak Sosial yang disimpulkan dalam Perlembagaan, tanpa menghormati umat Islam yang mendahului bermukim, berjuang kemerdekaan dan tidak mengenang budi mereka.

“Bagaimanapun, adalah sangat mengembirakan apabila kalangan bukan Islam juga ramai yang peka bahawa tindakan yang sedang berlaku laksana mahu menebuk kapal di tengah lautan perlu dicegah secara aman dan damai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi juga berkata, walaupun PAS dilihat berbeza sehingga berkhilaf dengan UMNO dalam merealisasikan pegangan Islam sehingga berlaku krisis yang ‘tajam’, kedua-dua parti wajib bersatu mempertahankan perkara asas yang menjadi perjuangan bersama.

Ahli Parlimen Marang itu juga menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau sesuatu yang menarik dan unik hanya dengan perkataan ‘rantau’ itu.

“PRK Rantau adalah sangat bermakna, kerana namanya Rantau supaya kita merantau mencari pengundi, dan kita pula bersama BN yang sudah kehilangan umpan untuk memancing undi.

“Rantau adalah model masyarakat majmuk yang unik, di mana Melayu Islam mendominasi penduduk dan pengundinya, dan menarik juga MCA dan MIC datang bersama secara terbuka,” katanya.

Dalam pilihan raya itu calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan menang dengan majoriti 4,510 undi apabila memperoleh 10,397 undi, sementara calon kerajaan PH, Dr S Stretam, mendapat 5,887 undi, dan dua calon Bebas, Mohd Nor Yasin dan R Malarvizhi, masing-masing 79, dan 83 undi.

Presiden PAS berkata, keputusan majoriti besar itu tanda sokongan semua kaum dan pengundi muda yang berubah kembali ke pangkal jalan.


Tiada ulasan: