Isnin, 8 April 2019

Pengawal keselamatan cedera ditumbuk pelawak [METROTV]

Raja Noraina Raja Rahim

LIHAT VIDEO DI SINI

 

PENGAWAL keselamatan berusia 70 tahun bukan sahaja ditumbuk, malah turut ditendang dan dibaling batu oleh pelawak terkenal dalam kejadian pergaduhan di Taman Acacia, Nilai, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, Yahya Manap cedera di hidung dan bengkak pada muka dan sakit belakang badan akibat kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, berdasarkan laporan, pelawak lelaki berusia 49 tahun yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Pengawal keselamatan kemudian menutup palang pos keselamatan dan mengejar kenderaan berkenaan. Selang beberapa minit lelaki itu ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

“Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan lelaki itu menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nor Marzukee berkata, penduduk yang melihat kejadian cuba mententeramkan keadaan dan lelaki itu mengugut mangsa sebelum beredar.


GAMBAR dari video tular.

Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi dan memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: