Selasa, 9 April 2019

Kerajaan mampu tangani penyebaran berita palsu, kata Dr Mahathir

MALAYSIAKINI

   
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau percaya kerajaan boleh kendalikan penyebaran berita palsu walaupun setelah pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Mengakui bahawa media sosial boleh disalahgunakan dengan serius, beliau berkata kerajaan akan menghapuskan akta itu seperti yang dijanjikan kepada rakyat yang mengundi kerajaan sekarang yang memegang kuasa.

"Bagi kita, ini bermakna kita perlu belajar cara mengendalikan berita palsu itu. Apabila kita mempunyai undang-undang yang menghalang orang daripada menyiarkan pandangan mereka, kita takut kerajaan sendiri boleh menyalahgunakannya seperti yang terjadi pada kerajaan yang lalu.

"Kami tidak mahu mana-mana kerajaan, yang ini atau yang seterusnya menggunakan undang-undang untuk membuat berita palsu bagi mengekalkan diri sendiri.

"Tetapi sudah tentulah (berita palsu) sukar untuk ditangani tetapi kita percaya kita dapat menerima cabaran dan dapat mengendalinya," katanya dalam satu sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman ke-9 Pemimpin Malaysia- Singapura, di Putrajaya hari ini.

Pada September 2018, Dewan Negara Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos..

Dr Mahathir menjawab soalan mengenai kritikan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) terhadap langkah kerajaan Singapura menguatkuasakan akta anti berita palsu manakala Malaysia bergerak ke arah yang berbeza untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Menjawab pertanyaan itu Perdana Menteri Lee berkata berita palsu adalah masalah serius yang membimbangkan banyak negara dan Singapura bukanlah satu-satunya negara yang menggubal undang-undang sedemikian.

Menurutnya, Perancis, Jerman dan Australia telah melakukan sesuatu yang serupa dan sangat zalim.

Lee berkata rang undang-undang perlindungan daripada kepalsuan dalam talian dan manupilasi (POFMA) akan menjadi langkah penting dan kerajaan akan terus melakukan perkara yang sesuai untuk Singapura.

RSF dalam kenyataan baru-baru ini menganggap rang undang-undang POFMA yang dibentangkan ke parlimen pada 1 April itu sebagai “halangan utama untuk memaklumkan.”- Bernama


Tiada ulasan: