Ahad, 2 Disember 2018

MCA nekad keluar BN?

Manzaidi Mohd Amin
Wee Ka Siong
Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Hari ini penentu kepada masa depan MCA sama ada memutuskan untuk kekal dalam Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen atau keluar dari entiti induk itu untuk bersendirian.

Keputusan yang tentunya sukar bagi MCA itu akan diketahui selewat-lewatnya petang ini selepas semua perwakilan mengambil bahagian dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden.

Namun begitu, wartawan Melayu yang hadir membuat liputan Perhimpunan Agung Tahunan parti itu terpinga-pinga apabila Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong menyampaikan Ucapan Dasarnya dalam bahasa Mandarin.

Tanda tanya juga bermain dalam minda media ketidakhadiran pemimpin dari parti komponen BN iaitu UMNO dan MIC ke perhimpunan berkenaan.

Sedangkan, sebelum ini secara tradisinya, mana-mana parti dari BN akan menjemput wakil komponennya menghadiri acara tahunan itu secara jemputan khas.

Ini menguatkan lagi bahawa MCA sudah nekad untuk bersendirian, tidak lagi bergabung dengan UMNO dan MIC dalam BN.

Mengikut sumber, MCA bakal mengambil keputusan keluar dari BN sebagai tanda protes parti itu berikutan kerjasama politik antara UMNO dengan Pas ketika Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia baru-baru ini.

Kerjasama itu, walaupun Pas turut menurunkan jenteranya membantu kempen calon MCA di PRK DUN Balakong, ternyata tidak cukup untuk memenangi hati MCA.

Sebaliknya, parti terbesar kaum Cina itu lebih senang menyalahkan UMNO sekiranya mereka merajuk dan terguris hati sehingga membuat keputusan untuk keluar dari BN.

Menurut laporan sebuah portal yang dipetik ucapannya, Ka Siong dilaporkan berkata, pemimpin BN begitu sombong dan dikatakan tidak mempunyai integriti yang menjadi punca BN kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei lalu.

Sedangkan, MCA yang bertanding di banyak kerusik Parlimen, hanya memenangi satu kerusi sahaja, manakala MIC pula dua kerusi.

Beliau turut mengakui parti itu gagal bekerja keras untuk memenangi lebih banyak kerusi kerana berlaku ketidakseimbangan kepemimpinan dalam MCA itu sendiri. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: