Selasa, 25 Disember 2018

Lebih 1,000 berarak di Klang tuntut keadilan untuk Adib


Penunjuk perasaan keluar dari Masjid Bandar Diraja Klang untuk
menyertai perarakan 1,000 orang menuntut keadilan untuk Adib.  

KLANG: Lebih 1,000 orang berarak dari Masjid Bandar Diraja Klang ke Dataran Seni Klang petang tadi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang meninggal dunia selepas cedera dalam keganasan di kuil Seafield, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tunjuk perasaan anjuran Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) berarak sejauh 500 meter bermula 5.10 petang, selepas solat Asar, solat jenazah ghaib dan tahlil beramai-ramai.

Penunjuk perasan melaungkan “Hidup Islam” dan “Hidup Melayu” sambil mendesak kerajaan memecat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Adib tercedera dalam rusuhan penganut Hindu yang tidak mahu kuil tersebut dipindahkan. Beberapa kereta terbakar dan kompleks One City yang terletak berdekatan dirosakkan perusuh.

“Kita nak tuntut keadilan buat Adib dan minta Waytha dipecat,” kata Setiausaha Geras, Wan Asshima Kamaruddin kepada penunjuk perasaan sebelum berarak.

Geras mengemukakan 7 tuntutan dalam tunjuk perasaan hari ini, selain keadilan untuk Adib dan pemecatan menteri dan exco berkenaan.

 
Penunjuk perasaan di Dataran Seni Klang mendengar ucapan 
daripada Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed, yang lengkap 
berpakaian tradisional Melayu. 

 “Kita juga mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Kontrak Sosial kepada generasi akan datang serta meminta mana-mana individu mahupun menteri tidak sesekali menghina agama Islam sebagai agama rasmi yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga meminta kerajaan negeri mahupun pusat mengambil tindakan kepada mana-mana rumah ibadat yang wujud secara haram supaya perkara yang sama seperti di Seafield tidak berulang.

“Kita juga meminta jangan ada cubaan menghina kedudukan raja-raja Melayu serta penjawat awam di negara ini. Geras juga menolak ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum),” kata Presiden Geras, Abu Bakar Mohamed.

Tiada ulasan: