PARTI Islam Se-Malaysia
(PAS) Sabah ingin menjelaskan bahawa sesiapa yang beragama Islam wajib
menjalankan kehidupan berpandukan hukum dan garis panduan yang termaktub
dalam al-Quran.
Saya ingin memberi respons kepada
kenyataan pihak penganjur Jawatankuasa Unduk Ngadau Peringkat Negeri
Sabah yang berusaha mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa untuk
membenarkan peserta Muslim menyertai pertandingan tersebut.
PAS Sabah berpesan kepada seluruh umat Islam jangan sesekali terlibat sebagai peserta program Unduk Ngadau.
Di samping terdapatnya undang-undang
berkaitan yang termaktub dalam Seksyen 91, Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Sabah 1995, Islam juga tidak membenarkan penganutnya secara
bebas menjadi ratu di khalayak ramai.
PAS Sabah berharap pihak berkuasa agama
akan terus bertegas untuk tidak membenarkan umat Islam menyertai
pertandingan seumpama ini.
Orang Islam tidak akan menghalang dan
membantah program Unduk Ngadau ini bagi masyarakat bukan Islam kerana
ianya telah menjadi budaya masyarakat Kadazan-Dusun-Murut (KDM) di
Sabah. Tetapi jangan sesekali melibatkan peserta yang beragama Islam.
MOHD AMINUDDIN ALING, Pesuruhjaya PAS Sabah
HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan