Rabu, 26 Disember 2018

PH akui BN kerajaan terbaik, relevan

Manzaidi Mohd Amin

Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad
Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kaedah penentuan harga minyak akan dibuat secara mingguan oleh kerajaan Pakatan harapan (PH) mulai Januari ini, membuktikan apa yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini adalah betul dan relevan.

Aktivis politik, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, tidak wajar kerajaan PH meniru kaedah yang pernah dilaksanakan BN itu kerana sebelum ini mereka lantang menghasut rakyat kononnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pembohong dan menyusahkan rakyat.

“Hari ini secara terang-terangan Guan Eng mengakui kaedah turun naik minyak yang ditetapkan kerajaan BN sebenarnya yang terbaik dan tidak ada lagi cara pengiraan lain,” katanya dalam tulisannya AMBO di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng pada Isnin lalu bahawa kerajaan PH akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.

Ini berikutan penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan sejajar dengan trend penurunan harga pasaran minyak dunia ketika ini.

Menurut Guan Eng, perkara itu akan memberikan kelebihan kepada pengguna jika harga minyak dunia sedang naik, namun disebabkan trend harga minyak adalah menurun, kerajaan bersedia menukarkan asas penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan.

Menurut Wan Khairul Ihsan, kerajaan BN sebelum ini sudah melakukan sehabis baik untuk kebajikan rakyatnya sehingga sanggup menerima makian dan fitnah daripada pembangkang, ketika itu PH yang sedaya mungkin hendak memenangi dan memenuhi kehendak rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tapi apakan daya kebencian yang diasuh setiap hari oleh pembangkang PH ketika itu sangat kuat sehingga rakyat termakan dengan dakyah mereka.

“Dalam penerangan mereka kepada rakyat, apa sahaja yang dibuat oleh BN dikatakan sebagai menipu dan bohong,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: