Isnin, 31 Disember 2018

Calon BN PRK Cameron Highlands belum diputuskan

Bernama
xMGF28042018_PENAMAAN-CALON-P_078-CAMERON-HIGLANDS43-01-681x454
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

LIPIS – Barisan Nasional (BN) Pahang belum memutuskan calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata mengikut tradisi, kerusi tersebut kuota MIC.

“Kita masih berbincang sama ada ingin mengekalkan kuota MIC tetapi perlu saya ingatkan itu adalah kuota MIC dan MIC bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dan berjaya mengekalkan kerusi itu.

“Semalam kita adakan mesyuarat khas namun belum memutuskan calon… yang penting calon yang akan dipilih nanti adalah calon boleh menang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa ditemui pada Hari Bertemu Pelanggan Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri di Ladang Kontrak Rock Melon di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 30 Okt membatalkan kemenangan calon BN Datuk C. Sivarraajh pada pilihan raya umum lepas selepas berlaku unsur rasuah untuk mendapatkan undi.Pada majlis itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menggesa petani sekitar Lipis mengambil kesempatan menanam rock melon berikutan permintaan tinggi pasaran dalam dan luar negara.

Katanya, Lipis bakal menjadi hab pengeluaran rock melon bagi negeri Pahang berikutan kejayaan menghasilkan rock melon berkualiti tinggi yang diusahakan di Kuala Medang sejak 2007.

Tambahnya, peruntukan khas kerajaan negeri sebanyak RM500,000 turut disalurkan kepada Jabatan Pertanian Pahang bagi menaik taraf kemudahan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai yang mengalami gangguan gajah liar. – BERNAMA


Tiada ulasan: