Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA)
meluluskan peruntukan RM20 juta di bawah skim insentif untuk melahirkan
anak muda menceburkan diri dalam lapangan pertanian secara komersial
sepanjang tahun depan.
“Mereka mestilah mempunyai syarat-syarat tertentu antaranya minat yang mendalam, tidak mempunyai pekerjaan dan kemudahan asas terutama keperluan yang sesuai dengan bidang yang hendak diceburi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Kursus Penternakan Arnab di Bachok, Kelantan, hari ini.
Seramai 50 peserta menyertai program berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Veterinar Kelantan Dr Suratan Kamarudin dan Pengerusi Pertubuhan Darulnaim Gemilang (penganjur), Syahidulamri Khairuddin.
Wan Mohd Johari berkata, mereka yang berumur 18 hingga 40 tahun yang berminat boleh membuat permohonan mulai sekarang menerusi agensi-agensi kerajaan yang berkaitan di kawasan masing-masing tanpa mengira fahaman politik.
“Mereka akan diberi latihan asas seperti kaedah penternakan di sesuatu kawasan , cara penyembelihan dan pasarannya jika mereka ingin memilih untuk menternak arnab,” katanya.
Sementara itu, Dr Suratan berkata bidang penternakan arnab mempunyai potensi besar untuk berkembang di Kelantan sebagai menu makanan harian berasaskan permintaannya yang tidak mencukupi.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mengembangkan industri itu dan akan melakukan pemantauan berkala secara berterusan.
Syahidulamri pula berkata, pihaknya akan menganjurkan lebih banyak lagi program seumpama itu untuk menggalakkan anak-anak muda di negeri itu mencebur diri dalam lapangan tersebut terutama kepada belia-belia yang menganggur.
“Industri arnab menjanjikan pendapatan yang lumayan dengan harga seekor arnab mampu dijual antara RM35 dan RM45 manakala arnab yang boleh dijadikan baka (pembiakan) boleh mencecah harga antara RM150 hingga RM800 seekor,” katanya.-- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan