Isnin, 31 Disember 2018

Jangan ada lagi ‘jalan roti canai’ di Cameron – Kit Siang

MALAYSIAKINI

   
PRK CAMERON | Pakatan Harapan perlu memastikan tidak ada lagi “jalan roti canai” dibina di Cameron Highlands atau di mana jua di negara ini, kata pemimpin veteran DAP Lm Kit Siang.

Lim berkata pertama kali beliau mendengar mengenai ‘jalan roti canai’ pada majlis dialog bersama masyarakat Orang Asli dari Pos Sinderut dan Pos Manson.

Beliau telah melawat 14 kampung Orang Asli di dua kawasan pada Julai bersama calon PH pada PRU14 lalu M Manogaran.

“Pada ketika itulah saya pertama kali mendengar ‘jalan roti canai’, atau jalan yang dibina tidak mengikut piawaian, kerana kerja-kerja tidak berkualiti dan rasuah.

“Jalan-jalan baru ini begitu cepat rosak kerana lapisannya yang tipis bagi menutup kerja-kerja yang buruk,” katanya.

Menurut Lim selepas enam dekad pembinaan negara, masyarakat Orang Asli tidak patut terabai dan dilupakan.

Anggota parlimen Iskandar Puteri juga berkata undi Orang Asli bukan lagi “simpanan tetap” BN dalam pilihan raya dan menggesa masyarakat itu mengundi untuk masa depan yang lebih baik pada PRK 26 Januari ini.

Menurutnya lagi kawasan parlimen Cameron Highlands memiliki peratusan pengundi Orang Asli yang paling besar merangkumi lebih 20 peratus daripada 32048 pemilih berdaftar.

 

PRK Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kerusi berkenaan perlu dikosongkan kerana berlaku pembelian undi yang memberi kemenangan kepada Naib Presiden MIC pada PRU lalu.

MIC tidak membuat rayuan kepada keputusan itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian mentepkan 12 Jan sebagai hari penamaan calon dan 26 Jan sebagai hari mengundi.

SPR menetapkan Sivarraajh tidak layak bertanding bagi PRK itu.

Tiada ulasan: