Khamis, 1 November 2018

UMNO SEDIA ‘PAYUNG’ MUKHRIZ – NAZRI



Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempelawa Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyertai UMNO demi survival politiknya.

Malah, UMNO juga sedia untuk ‘melindungi’ Menteri Besar Kedah itu selepas ketiadaan bapanya yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Padang Rengas itu menegaskan yang beliau kekal setia bersama UMNO dan tidak berminat mahupun berniat untuk menyertai parti serpihan itu.

“Pertama, saya tidak berniat tidak pernah terfikir untuk melompat dan menyertai PPBM. Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran saya. Saya akan tetap dengan UMNO.

“Kedua, apakah sebenarnya agenda kenyataan seperti ini dibuat? Mengapa tunjuk minat dengan ahli parlimen UMNO apabila PH sudah miliki kedudukan kerusi yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen petang Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Datuk A Kadir Jasin pada Sabtu lepas ada segelintir daripada jumlah 40 ahli parlimen UMNO sudah mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi seperti Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat ‘lompat’ serta menyertai PPBM.

Sementara itu, Mohamed Nazri juga mempelawa Mukhriz untuk kembali ke pangkuan UMNO demi survival politiknya pada masa depan.

Jelas beliau, UMNO sebenarnya bersedia untuk memberi ‘perlindungan’ kepada Mukhriz selepas ‘pengunduran’ bapanya yang juga Perdana Menteri kelak.

“Saya pelawa Mukhriz pula untuk masuk UMNO sebab ini adalah parti Melayu. PPBM mungkin tiada masa depan selepas ‘pengunduran’ Mahathir dan Muhyiddin kelak.


Tiada ulasan: