Khamis, 29 November 2018

Lesen 'istimewa' pusat hiburan di KL dikaji semula

 
   

Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengkaji semula lesen ‘istimewa’ kepada sebahagian kecil pusat hiburan yang dibenarkan beroperasi sehingga pukul 5 pagi.

Menterinya, Khalid Samad berkata, biarpun kebanyakan lesen pusat hiburan membenarkan operasi sehingga pukul 1 pagi, sebahagian daripadanya diberikan kebenaran istimewa kerana dianggap sebagai tumpuan pelancong.

Beliau berkata demikian ketika mengulas syor Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan yang mencadangkan semua operasi pusat hiburan dipendekkan ke pukul 1 pagi sahaja.

“Banyak pusat hiburan di Kuala Lumpur ini sepatutnya tutup pukul 1 pagi, tetapi mereka tidak mengendahkannya, mereka teruskan operasi sehingga pukul 5 pagi.

“Ada sedikit yang diberikan kebenaran istimewa (untuk beroperasi hingga 5 pagi) kerana dianggap pusat hiburan khusus untuk golongan pelancong, tetapi pengunjung yang datang didapati kebanyakannya adalah orang tempatan.

"[...] Kita akan kaji semula kebenaran istimewa itu dan lihat adakah kebenaran seumpama itu masih perlu diteruskan atau tidak. [...] Lagipun saya tak fikir pelancong datang untuk hiburan malam, hiburan malam di negara mereka barangkali lebih meriah lagi,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Tambah anggota parlimen Shah Alam itu lagi, penguatkuasaan lebih tegas akan dilakukan bermula awal tahun depan bagi memastikan pusat hiburan dengan lesen biasa akur pada peraturan beroperasi sehingga pukul 1 pagi.

Selain itu, beliau turut berpendapat warga kota perlulah mempunyai kesedaran agar tidak membazirkan masa dan wang di pusat hiburan sehingga lewat malam, sebaliknya meluangkan lebih masa bersama keluarga di rumah.

“Ini satu petanda buat warga Kuala Lumpur. Jika kita tak pergi ke tempat-tempat itu, maka dia (pusat hiburan) akan tutup.

“Warga Kuala Lumpur kena ada kesedaran, jangan habiskan duit dan masa di tempat-tempat seperti itu, duduk di rumah bersama keluarga lebih baik,” katanya.


Tiada ulasan: