ULASAN | Naib Canselor Universiti Kebangsaan malaysia (UKM) Dr Noor Azlan Ghazali pantas menjawab ulasan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik perihal pembatalan secara paksa program Sekolah Malam anjuran Kawah Buku dan Diskopi bertajuk Reformasi Struktural: Mahathir vs. Anwar lagi? yang dijadual disampaikan Hishamuddin Rais semalam.
Jawapannya - penganjur perlu mendapatkan surat kebenaran untuk menggunakan pentas Sudut Pidato!
Aduh, UKM. Sampai bila mahu terperap dengan dongen siswa wajib meminta kebenaran untuk setiap cubit hal yang mereka mahu lakukan, atas alasan mentah simple governance?
Mengapa tidak gazetkan juga peruntukan tatacara agar setiap perkumpulan siswa yang bermain PUBG dan Mobile Legend di kafeteria - mencecah berbelas orang pada satu-satu masa - atau mereka yang berkumpul beramai-ramai menonton bola, menulis surat meminta kebenaran untuk aktiviti sedemikian?
Peruntukan ‘harus meminta kebenaran’ itu sudah kelakar bunyinya, untuk hal yang tetek-bengek sebegitu. Ada satu persoalan yang terlontar dalam benak kami: sampai bila ranah varsiti ini harus menadah hancing kepentingan tangan yang terselindung?
Penganjuran program Sekolah Malam di pentas Sudut Pidato, Tingkat 5, Pusanika UKM bukan bermula semalam. Ia sudah berlangsung beberapa siri tanpa sebarang masalah dan gangguan daripada mana-mana pihak. Bahkan, program tersebut berjalan dengan baik sebelah-menyebelah dengan latihan tarian kumpulan siswa.
Sumpah! tiada langsung kelibat pegawai keselamatan, atau algojo Special Branch (SB) mengambil gambar kegiatan kami sepanjang siri sebelum ini.
Jika Azlan memberi alasan ada program lain yang sudah membuat tempahan di situ, sebutkan pada hari apa Pusanika UKM sepi dari jerit-pekik siswa-siswi UKM. Semua maklum akan hal tersebut. Warga UKM tahu Pusanika adalah lokasi aktiviti berpersatuan.
Menggunakan alasan tempat itu sudah ditempah sebagai justifikasi pembatalan Sekolah Malam - alangkah kecilnya jiwa naib canselor UKM dalam cubaannya meloloskan diri daripada
dipertanggungjawabkan atas wayang boneka ini.
Begitu cerlang usaha Azlan untuk meraih simpati khalayak dengan secara terburu-buru melabel penganjur tidak mengikut prosedur. Mungkin selepas ini Sudut Pidato boleh ditukar namanya menjadi Sudut Pitempah, kerana untuk berpartisipasi di sana memerlukan sekeping surat bertulis.
Kami bersangka baik - mungkin inilah model kebebasan partisipasi dalam kalangan siswa yang Azlan cedok dari Universiti Harvard.
Sebagai penganjur kami faham benar permainan politik di sebalik kekecohan ini. Siri Sekolah Malam yang sepatutnya berlangsung semalam mengaitkan tiga nama - Mahathir, Anwar dan Hishamuddin Rais. Apabila kami menulis perihal menjaga kepentingan tangan yang tersembunyi, apa yang kami maksudkan ialah pergelutan di balik tabir. Sudah-sudahlah menganggap warga UKM begitu naif dalam memahami politik dan sangkut-pautnya dengan UKM.
Kami tidak menolak sangkaan bahawa tekanan agar program dibatalkan adalah bertitik-tolak daripada kehendak ‘seseorang’ yang mahu mengekalkan jawatan dan kedudukannya dalam hierarki pentadbiran UKM untuk tempoh mendatang.
Tidak mengapa, kami faham. Meminjam kata-kata Azmin Ali sewaktu perebutan kerusi menteri besar Selangor sekitar 2014, “tiada kesalahan untuk mempunyai cita-cita dalam politik,” kami fikir mereka dalam hierarki pentadbiran tinggi UKM yang kini berjuang untuk melanjutkan jawatan masing-masing pun tidak salah untuk bercita-cita sedemikian.
Tetapi, apakah perlu sehingga ke Padang, Indonesia pun mahu membawa canda yang sama?
Sudah-sudahlah memberi malu kepada roh universiti ini dengan gaya politik kampungan. Siswa yang mahu berpartisipasi, biarkanlah mereka. Remuk dan redam, hancur dan lebam mereka berhentak sesama sendiri, tidak perlu menjadi gundah gulana kepada kalangan mereka yang sedang menghuni bangunan Canselori UKM.
Semestinya kami tidak akan berhenti setakat semalam. Sekolah Malam akan terus memanaskan pentas Sudut Pidato UKM. Apakah selepas ini varsiti kebangsaan itu masih mahu terus menggunakan alasan kampungan begitu untuk menghalang siswa dan pensyarahnya berpartisipasi?
* AHMAD TAJUDDIN ialah jurucakap Kawah Buku dan Diskopi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan