RAMAI wanita mengadu
bahawa mereka didatangi haid semula setelah putus haid beberapa tahun.
Apabila mereka mengadu kepada suami, mungkin ramai yang pandang ringan,
kerana persepsi ramai mengatakan normal haid datang semula setelah
‘pencen’. Malah pernah dibincangkan dalam kitab pengajian agama pun
banyak kali ditekankan bahawa keluar darah semacam haid itu normal
walaupun sudah menopos.
Namun
jika sekiranya persoalan diajukan kepada para doktor, semua akan
menjawab, wajib membuat pemeriksaan lanjut. Ahli perubatan akan
mempersoalkan adakah wanita yang disahkan putus haid ini akan kembali
haid semula? Ianya sesuatu yang agak mustahil kerana fisiologi seorang
wanita yang putus haid akan kurang hormon kewanitaannya dan proses
pengeluaran darah haid akan terhenti. Jika keLuar apa-apa darah selepas
menopos akan dikira sebagai darah yang perlu dikenal pasti puncanya.
Jangan dipandang enteng isu ini.
Terdapat dua pandangan dalam ilmu
perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita
telah putus haid atau sebaliknya. Pendapat yang pertama adalah tempoh
masa enam bulan ketiadaan kitaran haid boleh dilabelkan sebagai menopos.
Manakala pendapat kedua menyatakan tempoh masa selepas satu tahun dari
haid yang terakhir.
Saya mengambil pendapat kedua kerana
keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami
kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup
selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan
dialami oleh seseorang wanita.
Kajian telah dijalankan bagi melihat
bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual di bawah
menunjukkan umur kebanyakan wanita putus haid. Peratus ini hasil dari
kajian ke atas wanita di pelbagai benua dan geografi.
Umur Putus Haid (% wanita)
35—40 tahun 11.87
40—45 tahun 25.97
45—50 tahun 41.03
50—55 tahun 14.58
Sebelum 35 atau
selepas 55 tahun 6.54
Bagi wanita yang putus haid kurang daripada 40 tahun diistilahkan sebagai putus haid pra-matang (premature menopause).
Dari pembahagian di atas, majoriti umur
putus haid bagi seseorang wanita adalah di antara 45 hingga 55 tahun.
Tetapi median umur (kebanyakan) putus haid adalah 52.4 tahun. Tidak
dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan
iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.
Dalam keadaan biasa seseorang wanita
berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam
hidupnya. Kajian menyatakan hanya lima peratus wanita akan mengalami
perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid.
Jika seseorang wanita yang telah putus
haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui
punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak
tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya
darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan.
darah penyakit ini berpunca daripada beberapa sebab seperti di bawah:
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan kuman.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau
ubat tradisional tertentu. Bahan yang terdapat dalam ubatan herba
mungkin mengandungi hormon tersembunyi atau terproses secara semula
jadi.
3. Pengecutan vagina (vagina atropy) dan pangkal rahim kering menyebabkan senang terluka apabila bersenggama.
4. Pembengkakan rahim (radang) tanpa
sebab yang diketahui secara jelas. Mungkin perubahan tindak balas badan
dan hormon atau jangkitan kuman.
5. Perdarahan berpunca daripada kanser rahim, kanser pangkal rahim atau kanser ovari (kilang telur).
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim. Apabila diganggu semasa hubungan intim bersama suami, perdarahan boleh meletus.
Perkara yang paling membimbangkan para
pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini
adalah kanser. Lima hingga 10 peratus perdarahan selepas putus haid
adalah berpunca daripada kanser rahim.
Kajian perlu dijalankan oleh pakar
perubatan bagi mengetahui kanser rahim ini. Antara ujian yang boleh
dijalankan adalah dengan kaedah ultra sound sistem peranakan dan
melakukan pensampelan peranakan wanita. Melalui kaedah ini pakar
perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh
seseorang wanita.
Oleh yang demikian, doktor akan
meletakkan diagnosa awalan kanser rahim kepada sesiapa sahaja wanita
yang didatangi darah selepas putusnya haid (menopos). Pemeriksaan lanjut
wajib dijalankan bagi mempastikan perdarahan itu bukan berpunca
daripada kanser atau sebaliknya.
Setiap daripada kita berhak untuk
mendapatkan maklumat kesahihan dan pengesanan penyakit tersebut agar
kita boleh bertindak cepat. Jika dibiarkan tanpa kecaknaan daripada
kita, diri kita sendiri akan menanggung derita.
Silalah datang ke klinik atau hospital untuk menjalani pemeriksaan. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan