Sabtu, 24 November 2018

Najib Tak Pakai Seragam Oren Dipertikai


KE MANA pun saya pergi sekarang, soalan yang kerap ditanya adalah mengapa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil), Mohd Najib Abdul Razak tidak dipakaikan kemeja-T oren lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut “dikecualikan” daripada memakai pakaian seragam itu adalah isterinya, Datin Paduka Seri Puan Puti Reno Rosmah Mansor.

Kalau orang biasa yang tanya, saya tak hairan sangat. Ini peguam, pendakwa raya dan menteri kabinet pun tanya.

Ada orang kata, mereka tidak dipakaikan uniform tersebut kerana mereka tidak dikenakan tahanan reman manakala yang lain pula kata, kerana tidak ada bahaya mereka melarikan diri.

Ada yang tanya adakah ini pilih kasih atau ada lagi pihak yang memihak kepada mereka?
Tapi semua kata adalah tidak adil Najib dan Rosmah dikecualikan. Lebih tidak patut kalau alasan sengaja dibuat supaya mereka tidak perlu memperagakan pakaian seragam itu.

Betapa tidak. Beberapa orang kanan Najib seperti (Tan Sri) Isa Samad, (Datuk Seri Panglima) Abdul Azeez Rahim, Datuk Hasanah Abdul Hamid dan (Datuk) Rizal Mansor semuanya “diorenkan”.

Saya kurang pasti kalau Datuk Seri (tengku) Adnan Mansor juga “dibajuorenkan”. Tetapi rasanya tidak. Kalau tidak silap dia pakai baju seakan batik berwarna biru.

Banyak lagi kes SPRM yang menanti Najib dan Rosmah. Jadi kita tunggu dan lihatlah sama ada hasrat orang ramai melihat Najib dan Rosmah memperagakan seragam oren itu akan termakbul.
Hak Bersuara

Kemudian orang pun bertanya mengenai Najib yang terus membuat kenyataan seolah-olah dia masih Perdana Menteri dan keengganannya masuk kandang tertuduh ketika sesi pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 16 November lalu.

Berkenaan Najib membuat kenyataan, saya rasa itu hak dia lah. Dia masih bebas dan kita pun menghormati kebebasan bersuara. Nasihat saya, kalau mual dan loya tak payahlah baca komen dia.

Ini cerita orang takut hantu ketika berseorangan pada malam gelap gelita. Lagi takut, lagi kuatlah dia menyanyi atau bercakap sendirian.

Bersabit keengganan dia masuk kandang tertuduh pula, ada orang, termasuk peguam kata, perbuatannya itu menghina mahkamah. Orang putih kata “contempt of court”.

Penyelidikan saya mendapati bahawa di bawah Perkara 26 Jadual Ketiga (Seksyen 99A) Akta Mahkamah Rendah 1947, sabit tuduhan menghina mahkamah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga minggu atau denda.

Tapi saya rasa keengganan masuk kandang itu dibuat untuk menguji kesabaran hakim dan mencabar peraturan mahkamah.

Adalah kebiasaan dalam perbicaraan bagi orang kena tuduh dan peguam mereka menggunakan pelbagai tipu helah dan isu teknikal bagi melengahkan perbicaraan dan sekali gus mencetuskan keraguan.

Kita telah tengok bagaimana kaedah ini digunakan secara berleluasa dalam kes-kes berat atau sensasi, khususnya yang membabitkan orang politik dan orang kenamaan lain.

Silap-silap tertuduh sakit perut, sakit jantung, sakit mata dan macam-macam lagi. Kemudian tukar peguam. Lepas itu bantah itu dan ini.

Mahkamah Teliti

Proses mahkamah lazimnya perlahan kerana mahkamah perlu teliti. Ada empat peringkat mahkamah yang perlu dilalui sebelum seseorang itu menjalani hukuman.

Dalam kes Najib ini sudah pasti dipindahkan daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Dengan takdir dia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi, dia boleh merayu kepada Mahkamah Rayuan. Kalah di Mahkamah Rayuan merayu pula kepada Mahkamah Persekutuan. Kalau kalah juga barulah masuk penjara.

Jadi, nasihat saya, kita jangan terlalu sangat menaruh harapan hendak tengok Najib, Rosmah dan sekutu mereka dicampakkan ke dalam penjara dalam masa yang singkat.
Kalaulah ditakdirkan Pendakwa Raya menang, saya rasa kita berikan sedikit keistimewaan kepada Najib.

Kita benarkan dia dibawa ke Penjara Sungai Buloh atau Kajang dengan menaiki MRT kerana kebetulan dia memilih membina MRT di antara Sungai Buloh dan Kajang yang kedua-duanya ada penjara.-https://kadirjasin.blogspot.com

Tiada ulasan: