Ahad, 25 November 2018

Menteri bakar kelambu

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR

ATAS tekanan dan desakan rakyat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akhirnya membuat keputusan tidak akan meratifikasi ICERD. Untuk itu kita ucapkan terima kasih. Apa guna kita guna acuan Barat yang tidak relevan dengan amalan dan budaya kita di sini.
 
Kalau Barat perjuangkan hak LGBT sedang ia asing dan terkutuk pada amalan kita, apa guna kita terima. Begitu juga jika Barat mempromosi kebebasan beragama sehingga memberi kebebasan kepada rakyat keluar masuk agama dan malah boleh memilih tidak beragama, patutkah ia kita contohi?
 
Demikianlah juga dengan ICERD. Benar ia kelihatan mahu menghapuskan sebarang bentuk kezaliman berpunca dari diskriminasi kaum, soalnya apakah kita mengamalkan diskriminasi kaum di sini atau menerima aparteid?
 
Diskriminasi kaum yang zalim memang kita tentang tetapi jika ada mana-mana pihak melihat hak istimewa orang Melayu Bumiputera, institusi Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, semua ini sebagai satu bentuk diskriminasi lalu ICERD perlu untuk menanganinya maka inilah yang kita tentang.
 
Malaysia perlu diukur dan difahami dari sejarah dan ikatan sosial kontraknya yang tidak boleh dipadam dengan ICERD.
 
Kita lega bila ada pemimpin dalam kerajaan yang akui ICERD tiada keperluan di sini. Akan tetapi yang mengecewakan apabila ada segelintir pimpinan khasnya dari PAN yang bersungguh mahukan ICERD ini seiring dengan kemahuan DAP.
 
Salah seorang Menterinya menyebut:
 
"Tapi mengapa kita memilih untuk menjadi liar seolah dunia akan kiamat jika kita menerimanya? Mengapa hilang rasional kita sedangkan ini peluang menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum?"
 
Sikap dan pendirian seperti inilah yang memecah dan memporak-perandakan kesatuan ummah.
 
Usaha umat Melayu Islam menentang ICERD diumpamakannya sebagai tindakan liar.
 
Sikap beginilah dijulang dan disenangi oleh puak DAP. Mereka menyuntik agenda 'Malaysian Malaysia', umat Melayu tentang tetapi ada pimpinan Melayu khasnya dari PAN tolong promosi dan perjuangkan.

Malu kita punya Menteri seumpama ini. Jangan kerana mengejar habuan, pangkat dan kedudukan, kelambu sendiri dibakar. - HARAKAHDAILY


Tiada ulasan: