Sabtu, 24 November 2018

Menteri lebih teruk dari penagih tolak ICERD

Oleh Subky Latif


KETIKA Tok Hakim, Tok Mufti, ulama dan politikus bukan kerajaan kata Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) adalah bencana buat umat dan Malaysia, maka ada menteri yang tidak dipilih rakyat dalam pilihan raya berkata ketagihan dadah adalah lebih teruk daripada ICERD.

Dan ada juga orang poliik kerajaan PH yang lebih kanan daripadanya dan dipilih rakyat dalam pilihan raya mengira ICERD lebih adil dari keharmonian masyarakat yang ada sekarang.

Ulas Nik Abduh, MP PAS Bachok, penagih dadah yang tolak ICERD adalah lebih baik daripada menteri yang terima ICERD. Atau menteri terima ICERD lebih teruk daripada penagih dadah.

Logik Nik Abduh adalah satu tamsil yang tepat.

Ribuan penagih dan pengedar dadah memang mengancam manusiawi, umah, Islam, Melayu/Bumiputera, tetapi keselamatan umat dan tamadun Malaysia masih terkawal jika urusan tadbir kerajaan dikendali oleh pemimpin-pemimpin berwibawa dan rakyat yang prihatin akan keharmonian, tidaklah sesegera yang disangka akan ditelan ancaman dadah.

Tetapi jika dibiarkan di bawah menteri yang tagih ICERD, secepat kilat ia diratifikasi, nescaya jadi Temasiklah Malaysia, yang tamadun Islam/Melayunya dibina lebih lima kurun lalu.

Temasik itu ditemui dan diasas oleh Sang Nila Utama, Raja berbangsa Melayu ribuan tahun lalu, apabila ditelan sejarah, Temasik menerima nasib seperti Babilon, bangsa dan tamadun besar dalam sejarah silam, tetapi wilayah dan bangsa Babilon sudah tiada dalam peta dunia.

Temasik tinggal sebagai nama bangunan, tetapi ia jadi tamadun yang sudah hilang.

Malaysia akan ada dan mungkin bertambah maju selepas diratifikasi konvensyen antarabangsa menyama rata semua kaum setiap negara, nescaya senasiblah dengan Mesir yang tuan awalnya adalah Qibti. Di luar Arab wilayahnya masih dikenali dengan Egypt, tetapi Qibti adalah kaum yang minoriti di Mesir purba sedang ia bangsa Firaun yang perkasa dulu.

Jika menteri tagih ICERD dibenarkan menentukan ia diratifikasi atau tidak, samalah atau lebih teruk daripada nasib si penagih tegar dadah, ada wilayah dan sejarahnya, tetapi orang Melayu/peribumi tidak dapat menentukan nasib sendiri.

Sekalipun sekalian si penagih dadah itu tidak peka dengan politik dan tamadun bangsanya justeru gian siang malam, hingga tidak dapat memberikan tekanan dan ketentuan ICERD diratifikasi atau tidak, tidak siapa menyerahkan mandat kepadanya bagi penentuan ratifikasi.

Tetapi dengan mandat kepada sang penagih ICERD, maka mereka menyerahkan hak politik dan kemerdekaan kepada orang lain, meredha ratifikasi itu, sebaliknya penaih dadah menentang ICERD, sekurang-kurangnya penagih dadah lebih berharga daripada sang menteri dan pemimpin tagih mabuk ICERD yang tidak lagi punya harga diri dan harga bangsanya.

Rakyat tidak menyerahkan mandatnya kepada penagih dadah, kerana mereka tidak pernah memikirkan tentang pemerintahan, nasibnya dan nasib masyarakat. Mereka tidak ada kuasa menyerahkan negara ini kepada penagih ICERD.

Tetapi pemimpin dan menteri tagih ICERD yang bercakap untuk memerangi rasuah, menyelamatkan negara dari penyangak khazanah, mereka diberi mandat menentukan masa depan negara dan rakyat, tiba-tiba bercakap meratifikasi ICERD, hingga menjadikan umat/peribumi tidak tidur siang malam justeru masa depannya terancam.

Semua mengharapkan perpaduan dari kerajaan baharu, tetapi menteri-menteri tagih ICERD menyediakan perpecahan. Lenyap harapan perpaduan diganti dengan harapan perpecahan. Bagi penagih dadah memilih dadah lebih baik daripada memilih ICERD. Dengan demikian tidak rasa apa-apa bila kemerdekaannya dirampas melalui menteri tagih ICERD. 
 
 

Tiada ulasan: