BESUT: Persoalan siapa yang akan menjadi pengerusi Umno Terengganu masih menjadi tanda tanya hingga ia diumumkan sendiri Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata, jawatan itu akan diberi semula kepada “orang” Terengganu kerana merasakan mereka lebih layak menerajui dan meneruskan hala tuju perjuangan Umno di negeri itu.
“Bagi pengumuman siapa yang memegang jawatan tersebut akan diberitahu dalam masa terdekat ini, apabila presiden Umno menandatangani persetujuan dan akan diserahkan kepada Terengganu.
“Sebelum ini, kita datang seketika untuk membuat penyelarasan dan selepas itu kita akan serahkan kembali kepada orang Terengganu untuk memimpin Umno Terengganu,” katanya pada majlis Himpunan Bangkit Hala Tuju Umno Besut di Kem Seri Keluang hari ini.
Penyerahan rasmi tugas pengerusi itu dijangka dilakukan Januari depan.
Sebelum ini, Mahadzir dilantik memegang jawatan pengerusi menggantikan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang tewas dalam pemilihan parti peringkat bahagian tahun ini.
Menurut Mahdzir, walaupun akan menyerahkan kembali jawatan tersebut kepada kepimpinan Umno Terengganu, beliau akan terus membantu Terengganu dari semasa ke semasa selaras jawatan sebagai naib presiden Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan