Ahad, 25 November 2018

KPDNHEP buka tender sistem agihan subsidi minyak

KEADILAN DAILY

Saifuddin Nasution

Kerajaan membuka tender bagi membangunkan sistem subsidi minyak bersasar, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut anggota Parlimen Bayan Baru itu, tender itu dikeluarkan Kementerian Kewangan yang menguruskan perolehan, pada Isnin lepas.

“Tender ini bagi mencadang, mengkaji, mereka bentuk, membangun, membekal, memasang, menguji dan mentauliah serta mengoperasi perkakasan perisian dan aplikasi untuk sistem subsidi minyak secara bersasar bagi petrol RON95,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) tentang hasil daripada subsidi berkenaan.
Saifuddin berkata pemilihan kontraktor sistem itu akan dilaksanakan secara berdaya saing bagi memastikan kecekapannya.

“Kita harap apabila itu dimuktamadkan maka kementerian ini boleh melakukan langkah yang berikutnya,” katanya.

Saifuddin yakin subsidi minyak bersasar itu akan dapat dilaksana pada suku kedua tahun depan secara berperingkat.

Sementara itu, Saifuddin berkata ketika ini, penggunaan petrol RON97 dan RON95 di negara ini mencecah 1.2 bilion liter setiap bulan.

“Bagi (penggunaan) RON95 ialah 90 peratus daripada 1.2 bilion itu,” katanya.

Belanjawan 2019 dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini memperuntukkan subsidi petrol kepada kereta dengan kapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

Tiada ulasan: