Isnin, 26 November 2018

PKR Johor kesal Bersatu terima tiga bekas wakil rakyat Umno

DENYUT REFORMASI

 
 
PKR Johor hari ini melahirkan kekesalannya berhubung keputusan Bersatu untuk menerima tiga wakil rakyat negeri itu yang baru-baru ini keluar daripada Umno.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim berkata keputusan itu tidak menghormati pengundi.

“Penyertaan tiga bekas pemimpin Umno itu telah melahirkan rasa kurang senang dan salah anggap di kalangan rakyat yang telah memberi mandat kepada PH pada pilihanraya umum ke-14.

“Secara umumnya, rakyat beri undi kepada PH dan menumbangkan Barisan Nasional (BN) adalah dengan harapan agar kita dapat melaksanakan agenda reformasi. Reformasi yang sifatnya segar, menyeluruh dan melahirkan Malaysia yang baru tanpa Umno/BN.

“Tindakan mengambil bekas pemimpin Umno sertai PH boleh dianggap sebagai khianat kepada mandat rakyat dan khianat kepada hasrat rakyat yang inginkan perubahan,” katanya.

Malah, kata Hassan, PH sudah mempunyai majoriti selesa di Dewan Undangan Negeri Johor dan penyertaan ketiga-tiga Adun bekas Umno itu tidak memberi sebarang manfaat.

“Hakikat yang sebenar, penyertaan mereka ini tidak memberikan apa-apa manfaat atau kebaikan buat PH di Johor kerana kita sudah ada majoriti yang cukup selesa di dalam Dewan Undangan Negeri (36 kerusi).

“Sepatutnya boleh mentadbir dengan baik tanpa bantuan mana-mana bekas pemimpin Umno,” katanya.

Sehingga hari ini, Bersatu Johor telah menerima tiga wakil rakyat yang bertindak keluar dari Umno dan menjadi Adun bebas buat seketika.

Semasa PRU14 pada 9 Mei lalu, PH memenangi 36 kerusi dalam DUN yang mempunyai 56 anggota itu. DAP memenangi kerusi paling banyak (14), diikuti oleh Amanah (sembilan), Bersatu (lapan) dan PKR (lima).

BN memenangi 19 kerusi dan PAS hanya memenangi satu kerusi. Ketika ini, Bersatu adalah parti kedua terbesar selepas DAP.

Ahad lalu, adalah dilaporkan tiga Adun yang sebelum ini daripada Umno iaitu Rasman lthnain, (Sedili), Alwiyah Talib (Endau) dan Rosleli Jahari (Johor Lama) menyertai Bersatu. 
 
 

Tiada ulasan: