Ahad, 25 November 2018

Perdarahan selepas putus haid tanda kanser?

DR SUHAZELI ABDULLAH

Lima hingga 10 peratus perdarahan selepas putus haid berpunca daripada kanser rahim.
RAMAI wanita mengadu bahawa mereka didatangi haid semula setelah putus haid beberapa tahun. Apabila mereka mengadu kepada suami, mungkin ramai yang pandang ringan, kerana persepsi ramai mengatakan normal haid datang semula setelah ‘pencen’. Malah pernah dibincangkan dalam kitab pengajian agama pun banyak kali ditekankan bahawa keluar darah semacam haid itu normal walaupun sudah menopos.
 
Namun jika sekiranya persoalan diajukan kepada para doktor, semua akan menjawab, wajib membuat pemeriksaan lanjut. Ahli perubatan akan mempersoalkan adakah wanita yang disahkan putus haid ini akan kembali haid semula? Ianya sesuatu yang agak mustahil kerana fisiologi seorang wanita yang putus haid akan kurang hormon kewanitaannya dan proses pengeluaran darah haid akan terhenti. Jika keLuar apa-apa darah selepas menopos akan dikira sebagai darah yang perlu dikenal pasti puncanya. Jangan dipandang enteng isu ini.
 
dr suhazeliTerdapat dua pandangan dalam ilmu perubatan mengenai tempoh masa yang mengesahkan bahawa seseorang wanita telah putus haid atau sebaliknya. Pendapat yang pertama adalah tempoh masa enam bulan ketiadaan kitaran haid boleh dilabelkan sebagai menopos. Manakala pendapat kedua menyatakan tempoh masa selepas satu tahun dari haid yang terakhir.
 
Saya mengambil pendapat kedua kerana keyakinan yang tinggi bahawa kilang telur wanita akan mengalami kepupusan telur dalam tempoh tersebut. Ia juga suatu tempoh yang cukup selesa beserta dengan beberapa tanda fizikal dan mental yang akan dialami oleh seseorang wanita.
 
Kajian telah dijalankan bagi melihat bilakah umur yang biasanya seseorang wanita putus haid. Jadual di bawah menunjukkan umur kebanyakan wanita putus haid. Peratus ini hasil dari kajian ke atas wanita di pelbagai benua dan geografi.
 
Umur Putus Haid    (% wanita)
 
35—40 tahun            11.87
40—45 tahun            25.97
45—50 tahun            41.03
50—55 tahun            14.58
Sebelum 35 atau
selepas 55 tahun       6.54
 
Bagi wanita yang putus haid kurang daripada 40 tahun diistilahkan sebagai putus haid pra-matang (premature menopause).
 
Dari pembahagian di atas, majoriti umur putus haid bagi seseorang wanita adalah di antara 45 hingga 55 tahun. Tetapi median umur (kebanyakan) putus haid adalah 52.4 tahun. Tidak dinafikan bahawa umur ini bergantung kepada faktor persekitaran dan iklim, sistem tubuh badan dan keturunan seseorang wanita berkenaan.
 
Dalam keadaan biasa seseorang wanita berusia yang telah putus haid tidak akan mengalami haid kali kedua dalam hidupnya. Kajian menyatakan hanya lima peratus wanita akan mengalami perdarahan yang seakan-akan haid setelah putus haid.
 
Jika seseorang wanita yang telah putus haid mengalami perdarahan, ia dikira darah penyakit dan perlu diketahui punca-puncanya melalui siasatan lanjut. Perdarahan ini biasanya tidak tetap hari dan tidak mengikut kitaran bulan yang biasa. Ada kalanya darah yang keluar sedikit dan ada yang banyak sehingga memudaratkan.
 
darah penyakit ini berpunca daripada beberapa sebab seperti di bawah:
 
1. Masalah pembekuan darah seperti hemophilia atau jangkitan kuman.
2. Wanita yang mengambil pil hormon atau ubat tradisional tertentu. Bahan yang terdapat dalam ubatan herba mungkin mengandungi hormon tersembunyi atau terproses secara semula jadi.
3. Pengecutan vagina (vagina atropy) dan pangkal rahim kering menyebabkan senang terluka apabila bersenggama.
4. Pembengkakan rahim (radang) tanpa sebab yang diketahui secara jelas. Mungkin perubahan tindak balas badan dan hormon atau jangkitan kuman.
5. Perdarahan berpunca daripada kanser rahim, kanser pangkal rahim atau kanser ovari (kilang telur).
6. Terdapat ketulan (polyps) di dalam rahim atau pangkal rahim. Apabila diganggu semasa hubungan intim bersama suami, perdarahan boleh meletus.
 
Perkara yang paling membimbangkan para pakar perubatan mengenai masalah perdarahan selepas putus haid ini adalah kanser. Lima hingga 10 peratus perdarahan selepas putus haid adalah berpunca daripada kanser rahim.
 
Kajian perlu dijalankan oleh pakar perubatan bagi mengetahui kanser rahim ini. Antara ujian yang boleh dijalankan adalah dengan kaedah ultra sound sistem peranakan dan melakukan pensampelan peranakan wanita. Melalui kaedah ini pakar perubatan dapat mengetahui secara asas masalah yang dihadapi oleh seseorang wanita.
 
Oleh yang demikian, doktor akan meletakkan diagnosa awalan kanser rahim kepada sesiapa sahaja wanita yang didatangi darah selepas putusnya haid (menopos). Pemeriksaan lanjut wajib dijalankan bagi mempastikan perdarahan itu bukan berpunca daripada kanser atau sebaliknya.
 
Setiap daripada kita berhak untuk mendapatkan maklumat kesahihan dan pengesanan penyakit tersebut agar kita boleh bertindak cepat. Jika dibiarkan tanpa kecaknaan daripada kita, diri kita sendiri akan menanggung derita.

Silalah datang ke klinik atau hospital untuk menjalani pemeriksaan. - HARAKAHDAILY 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.