Ahad, 18 November 2018

Anwar: Jangan terburu-buru meterai Icerd

DENYUT REFORMASI

 
Kerajaan tidak perlu terburu-buru memeterai Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) kerana mengambil kira kebimbangan mengenai kedudukan Islam, Melayu dan bumiputera, kata pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim.
"Bagi saya kita tidak patut terlalu terburu-buru.

"Rakyat sekarang ini merasa cemas, apakah kedudukan Islam terjejas, Melayu, bumiputera dan juga bahasa.

"Padahal hal ini sudah termeterai sebagai suatu yang termaktub dalam perlembagaan yang tidak harus dirombak," katanya pada suatu hantaran video di Facebook.

Walaupun Anwar berkata Icerd suatu dokumen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mendukung keadilan tetapi menurut anggota parlimen Port Dickson itu pemeteriannya boleh menimbulkan keresahan dan "kemungkinan mencetuskan ketegangan kaum."

Tujuan baik tapi timbulkan kegelisahan
"Jadi pada pendapat saya, sementara Icerd itu tidak ada cacatnya kerana ia adalah satu dokumen yang mendukung keadilan dan menolak diskriminasi.

"Tetapi pelaksanaannya atau untuk kita meterai harus kita ambil kira, kebimbangan, keresahan dan kemungkinan mencetuskan ketegangan kaum.

"Jadi tujuannya baik tetapi pelaksanaannya itu menimbulkan satu lagi kegelisahan," jelas beliau.

Anwar yang menang presiden PKR tanpa bertanding menegaskan Icerd wajar ditangguhkan
sementara diadakan dialog di kalangan akar umbi.

"Di dalam peringkat ini, di bawah Tun Mahathir (Mohamad) yang baru hendak membetulkan kepincangan sistem yang lama...

"Pada hemat saya, pada peringkat ini wajar ditangguhkan supaya diteruskan dengan perbincangan dan dialog ke akar umbi," katanya lagi.

Umno, PAS bantah Icerd
Pada 8 November lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyuarakan keraguannya terhadap Icerd.

"Kita kena timbang sebab ada peruntukan-peruntukan yang tidak sesuai dengan negara kita," katanya kepada media ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan mengenai konvensyen itu.
Sebelum ini, pada 30 Oktober lalu, Mahathir berkata kerajaan hanya akan meratifikasi Konvensyen Icerd selepas berbincang dengan semua kaum.

Pada September lalu, ketika hadir Persidangan Agung PBB yang ke-73, perdana menteri berkata Malaysia akan meratifikasi kesemua konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia selepas mengkajinya secara mendalam.
"Bagaimanapun, hal ini tidak mudah kerana Malaysia sebuah negara majmuk dengan pelbagai etnik, agama, budaya dan bahasa," katanya ketika berucap di New York.

Pada 23 Oktober lalu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan kedudukan istimewa bumiputera, tidak akan terjejas walaupun kerajaan menandatangani Icerd.

Pemimpin pembangkang, Umno dan PAS telah membantah cadangan kerajaan untuk menandatangani Icerd.

Pada 4 November lalu, tunjuk perasaan membantah Icerd di Kuala Lumpur turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi dan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi. 
 
 

Tiada ulasan: