Jumaat, 7 September 2018

PH mula bimbang kerjasama Pas, UMNO

Manzaidi Mohd Amin

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

PETALING JAYA – Pas mengingatkan pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia agar tidak terpengaruh dengan provokasi jentera kempen Pakatan Harapan (PH) yang didakwa semakin terdesak pada saat-saat hari akhir berkempen.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai provokasi akan dilakukan parti itu sehingga tempoh berkempen tamat jam 12 tengah malam ini kerana berasa takut dengan kerjasama Pas, UMNO, MCA dan MIC.

“Saya mahu mengingatkan pengundi yang akan menghadapi pilihan raya esok, bahawa mutakhir ini penuh dengan suasana yang kita semua kena awasi, elak provokasi daripada mana-mana pihak.

“Golongan terdesak akan buat sesuatu. Mereka sangat takut berlakunya pakatan politik antara Pas, UMNO, MCA dan MIC yang mana muafakat ini makin hari makin kukuh dan semua jentera UMNO turun membantu calon Pas, Dr Halimah Ali.

“Mereka dah mula rasa bimbang dan kebimbangan ini tidak mustahil akan mendorong berlaku tindakan provokasi yang kita mesti jaga dan elak,” katanya di sini malam tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, antara provokasi yang dijalankan PH ialah mempengaruhi pemikiran pengundi dengan memberi gambaran politik di DUN Seri Setia tidak mengubah realiti kerajaan Selangor.

Katanya, dakyah itu menyebabkan sebahagian pengundi merasakan tidak ada apa-apa dan tidak perlu keluar mengundi esok.

Beliau bagaimana yakin, peratusan keluar mengundi di DUN Seri Setia lebih tinggi berbanding di DUN Sri Kandis pada 4 Ogos lalu, yang mencatatkan rekod paling rendah antara terendah dalam sejarah politik Malaysia.

“Dua kemungkinan yang menyebabkan keadaan itu. Pertama, rakyat sudah muak kerana baru sahaja mengundi pada PRU 14, 9 Mei lalu, menyebabkan mereka merasa bosan.

“Keduanya, mereka menganggap kalau UMNO menang di kerusi DUN Sri Kandis, ia tidak ada kesan politik pada pentadbiran kerajaan. Jadi, mereka tidak keluar mengundi.

“Ini tidak mencerminkan kehendak penduduk setempat di situ. Tetapi kerana provokasi yang dijalankan pihak PH, rakyat terpengaruh,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: