Ahad, 20 Mei 2018

Zuraida rancang reformasi perkhidmatan perbandaran

Kasthuri Jeevendran
Zuraida Kamaruddin


KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang baharu, Zuraida Kamaruddin komited untuk fokus secara mendalam dasar serta pelaksanaan kementerian  terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penambahbaikan.

Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang berkata, pelbagai jenis penambaikan dan cadangan yang substantif dapat dilaksanakan oleh pihaknya selepas itu.

Jelasnya, peluang perumahan seimbang untuk bumiputera di kawasan bandar besar, hak golongan minoriti,orang asal dan lain-lain warganegara akan di beri perhatian sama rata.

“Saya sangat bersyukur dengan pelantikan namun ianya juga sarat dengan tanggungjawab besar yang perlu diberikan perhatian.

“Saya juga dengan segera ingin melihat reformasi dari sudut perkhidmatan perbandaran yang selamat dan mesra gender serta pengurusan perbandaran dan kerajaan tempatan yang profesional serta bertaraf antarabangsa.

“Selain itu, saya juga akan beri penekanan dalam pemberdayaan komuniti selaras dengan kepesatan perubahan dalam negara,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengadap Yang di-Pertuan Agung, Sultan Muhammad V di Istana Negara dan menyerahkan senarai nama Ahli Ahli Parlimen untuk dilantik  sebagai Menteri Persekutuan yang baharu.

Mahathir telah diterima mengadap oleh Yang diPertuan Agong pukul 5 petang hari ini telah menyerahkan 15 nama setakat termasuk nama beliau.

Yang diPertuan Agong telah memberi perkenan kepada nama-nama yang dicadangkan dan istiadat mengangkat sumpah jawatan  dan setia serta sumpah rahsia sebagai Menteri Persekutuan akan diadakan pada hari Isnin ini pukul 11.30 pagi di Istana  Negara. – Malaysia Gazette


Tiada ulasan: