HARI ini 16 Mei 2018
adalah Hari Guru. Dalam Islam, guru disebut sebagai murabbi, mudarris,
muallim. Namun, setiap satu istilah punya makna tersendiri yang berbeza.
Dalam istilah orang Melayu, Tuan Guru
biasanya merujuk kepada seorang yang banyak ilmu agama, umur yang agak
lanjut, punya peribadi yang mulia dan disegani oleh orang lain.
Alhamdulillah, dalam sebuah parti dan
gerakan Islam seperti PAS, ia punya ramai tok-tok guru. Bukan sahaja
dalam aspek-aspek yang disebut di atas sahaja, tetapi juga melahirkan
anak-anak murid yang kemudiannya menjadi guru pula.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang sudah berumur lebih 71 tahun. Beliau digelar tok guru,
bukan kerana beliau yang meminta untuk digelar demikian. Tidak juga
membayar mana-mana agensi supaya diletakkan gelaran itu kepadanya. Ia
muncul dari masyarakat yang melihat, memandang dan menilai.
Dari sudut ilmu, ramai anak buahnya yang
'menjadi'. Para asatizah dan ilmuan muncul dari tarbiahnya. Dari sudut
politik, beliau terus kekal hingga kini. Dalam masa yang sama,
dikelilingnya dipenuhi anak-anak buah didikan politiknya juga, walaupun
dari segi umur, mereka mungkin dianggap sebagai anak-anaknya.
Tok guru difitnah, dikecam, dikata,
persis ulama soleh terdahulu. Namun, tok guru tetap cekal, tidak
endahkan rumput dan lalang, meredah lautan perjuangan, mencari redha dan
pahala dari Tuhan.
Moga Tok Guru sentiasa sihat, diberi rahmat, terus berbakti buat umat. Selamat Hari Guru kepada Tok Guru dan semua guru. – HARAKAHDAILY
*Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan