Rabu, 9 Mei 2018

Terima hakikat, jangan susahkan rakyat - Hadi Awang

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
MARANG: "Menang atau kalah, kena terima hakikat, jangan menyusahkan rakyat dan negara," itu pesan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Rusila di sini, hari ini.
 
Presiden PAS itu berkata, setiap calon dan parti yang bertanding perlu akur kepada keputusan dan kehendak pengundi.
 
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, selamat dan tenteram. Kita sudah mengarahkan pengikut (PAS) sentiasa menjaga adab, mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.
 
"Kita kena terima hakikat, biar rakyat buat keputusan dan jangan menyusahkan rakyat dan negara," katanya dipetik BH Online.
 
Abdul Hadi tiba di pusat pengundian SK Rusila tepat jam 8 pagi dan selesai mengundi 10 minit kemudian.
 
Katanya, beliau turut berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian dan memuji petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjalankan tugas dengan baik.
 
Turut mengundi di sekolah berkenaan, anak kepada Abdul Hadi yang juga calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk yang tiba kira-kira jam 8.15 pagi.
 
DUN Ru Rendang yang sebelum ini disandang Abdul Hadi, menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, Prof Dr Ahmad Samsuri Mohktar (PAS) dan Dr Zarawi Sulong (PKR). DUN itu mempunyai seramai 25,999 pengundi.
 
Sementara itu, Ketua UMNO Marang yang juga calon DUN Pengkalan Berangan, A Latiff Awang antara terawal mengundi jam 8.30 pagi di SK Padang Mengkuang.
 
Calon wanita BN bagi DUN Bukit Payung, Toh Puan Zaitun Mat Amin pula tiba di pusat pengundian sama kira-kira 9.30 pagi dengan ditemani anak lelakinya, Muhammad Hishamudin Muda.
 
 

Tiada ulasan: