Sabtu, 5 Mei 2018

‘Sudahlah Tun, jangan binasakan negara’: Ku Nan kepada Dr M

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta Tun Dr Mahathir Mohamad agar jangan berpolitik dengan melakukan pembohongan serta cuba mengelirukan rakyat dan warga Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Beliau berkata jika Dr Mahathir yakin dengan perjuangannya ketika ini, maka pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu perlu melakukannya dengan berpaksikan kepada kebenaran tanpa melakukan fitnah demi fitnah terhadap pihak lain.

Sambil menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh Dr Mahathir terhadap dirinya pada ceramah pemimpin pakatan pembangkang yang diketuai DAP itu semalam di Putrajaya, Tengku Adnan menegaskan bahawa penduduk Putrajaya telah menjadi sebahagian daripada keluarganya selama ini.

“Jika Tun yakin untuk menang, apa perlunya Tun membuat surat terbuka kepada orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dengan merayu untuk menyokong Tun sedangkan sebelum ini Tun sendiri yang mengkhianati perjuangan UMNO malah membuat pelbagai tuduhan terhadap ahli-ahli UMNO.

“Bukankah lebih elok jika Tun membuat surat terbuka kepada anggota PKR bagi memohon maaf atas keputusan Tun dahulu yang mencetuskan gerakan reformasi yang didukung parti itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang merupakan calon BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya yakin rakyat termasuk para pengundi di Putrajaya akan bijak melakukan penilaian pada hari pengundian.

“Dr Mahathir telah menggunakan nama beliau sebagai bahan propaganda namun, tindakan itu hanya membuka aib calon Langkawi (Mahathir) itu sendiri.

“Sudahlah Tun, jangan mudah lupa, jangan perguna rakyat, jangan rosakkan bangsa, jangan binasakan negara. Zaman Tun sudah berlalu. Era pentadbiran, kepimpinan dan perjuangan Tun sudah tidak relevan lagi,” katanya.

Tengku Adnan berkata beliau juga sedia maklum bahawa jumlah penyokong yang hadir dalam ceramah semalam bukanlah warga tempatan, dan kehadiran itu semuanya sudah dirancang serapi yang mungkin bagi mengaburi masyarakat.

“Saya sedia maklum berkaitan program semalam lebih awal lagi, dan saya telah minta kepada warga Putrajaya khususnya anak-anak muda agar tidak mengganggu atau melakukan sebarang kekacauan pada majlis Tun. Kami tahu bahawa orang luar ramai yang membanjiri sesi ceramah Tun, tetapi jangan lakukan fitnah,” katanya.

Tengku Adnan juga menempelak Dr Mahathir yang telah menuduhnya sebagai seorang pencuri, dan ingin tahu apakah yang telah dicuri olehnya padahal telah banyak menggunakan hartanya untuk membantu rakyat.

“Saya bukan pencuri, malahan dengan harta yang saya ada, saya bersyukur kerana dapat membantu rakyat dan juga warga Putrajaya. Biarpun nilai harta saya semakin berkurangan saban tahun, namun saya gembira dapat membantu rakyat dengan duit yang saya ada.

“Tun lihatlah sendiri pembangunan dan kemajuan yang ada di sini (Putrajaya). Itu tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat. Menceburi politik tidak menambahkan harta saya sebagaimana dakwaan Tun sebaliknya ia semakin berkurangan,” katanya.

Beliau berkata sedangkan Dr Mahathir telah diisytiharkan sebagai antara orang terkaya di Malaysia pada tahun 1992 ketika menjadi perdana menteri.

“Sudahkah Tun lupa, waktu Tun susah saya menyumbang tenaga mempertahankan Tun daripada serangan reformasi. Tun lupakah jasa saya ketika itu?,” tanya Tengku Adnan.

Tiada ulasan: