Bekas perdana menteri berkata, ahli keluarganya
menerima tekanan dari pihak tertentu sehingga rumah anaknya turut
digeledah dan barang persendirian cucunya serta hadiah perkahwinan
anaknya dirampas.
PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadu tidak mendapat layanan baik, walaupun beliau berundur dengan baik untuk membolehkan peralihan kuasa berjalan lancar.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak akan mengisytiharkan darurat selepas mengalami kekalahan besar dalam pilihan raya umum ke-14.
“Sebagai orang yang amalkan prinsip demokrasi, tidak mengapalah, saya terima. Mereka kata saya tidak mahu serah kuasa, akan laksana Mageran (Majlis Gerakan Negara), tetapi saya tidak buat pun.
“Saya tidak ada hati hendak buat Mageran, saya serah kuasa dengan baik. Walaupun bila saya serah kuasa dengan cara baik, saya tidak terima layanan yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat tahunan cawangan Umno dan sayap bahagian Pekan, di Pahang hari ini.
Najib berkata, ahli keluarganya menerima tekanan dari pihak tertentu sehingga rumah anaknya turut digeledah dan barang persendirian cucunya serta hadiah perkahwinan anaknya dirampas.
“Apa kasut bayi pun diambil. Kasut Adam yang beberapa bulan juga diambil, hadiah perkahwinan anak saya juga diambil. Apa kena-mengena 1MDB dengan kasut anak saya dan hadiah perkahwinan?
“Kalau hendak ambil barang mesti ada bukti, mesti ada prima facie bahawa harta yang diperolehi secara tidak sah atau bertentangan undang-undang.”
Katanya, tidak menghairankan jika anaknya mendapat barangan berharga tinggi sebagai hadiah perkahwinan memandangkan birasnya mempunyai status di Kazakhstan.
“Tidak layak ke anak saya dapat hadiah perkahwinan? Dia kahwin dengan keluarga yang sedikit sebanyak ada kemampuan di Kazakhstan, bukan orang yang dapat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia).
“Jadi, kalau besan saya hendak bagi sesuatu apa salahnya? Di Kazakhstan apa kaitan dengan 1MDB? Tidak ada. Saya hendak luah perasaan kepada orang Pekan, orang Pekan tahu saya bukan pencuri.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan