Khamis, 3 Mei 2018

‘REHATKAN’ MAHATHIR – HADI




Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan calon PKR Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berehat dan menghabiskan masa tuanya.

Beliau berkata, zaman Mahathir sudah lama berlalu dan tidak sesuai Pengerusi PPBM yang dibubarkan sementara itu sekali lagi menjadi Perdana Menteri.

Justeru nasihat Abdul Hadi kepada pengundi Langkawi, jika mereka sayang kepada bekas Perdana Menteri berusia 93 tahun itu, janganlah memberi undi kepada beliau dalam pilihan raya nanti.

“Bukan Mahathir tiada jasa dan kebaikan tetapi masa dia (Dr. Mahathir) sudah lama habis. Kalau kita kesian, jangan pilih dia, biar dia berehat menghabiskan usia tuanya,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Pekan Kuah, Langkawi, Selasa malam.

Turut serta dalam ceramah tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad; Timbalannya, Mazlan Ahmad dan calon PAS DUN Ayer Hangat, Azlina Azinan.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, tidak mustahil PAS boleh mengalahkan Mahathir di Parlimen Langkawi kerana beliau pernah ditewaskan oleh calon parti itu dalam pilihan raya pada tahun 1969 di Kota Setar Selatan.

“Dia pernah kalah, tidak mustahil dia boleh dikalahkan sekali lagi di Langkawi,” katanya.

Ketika sidang media selepas ceramah tersebut, Abdul Hadi sekali lagi menekankan perkara sama supaya rakyat menolak Dr. Mahathir.

“Biarlah dia berehat dalam usia yang sudah lanjut ini. Kita tidak mahu pemimpin kitar semula. Banyak lagi pemimpin pelapis yang ada,” katanya.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mahathir yang merupakan calon tertua dalam PRU14 akan menghadapi saingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Ir Nawawi Ahmad dan Zubir dari PAS di Parlimen Langkawi.

Mahatir yang membuat kemunculan semula di gelanggang politik selepas kira-kira dua dekad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sementara sekiranya gabungan pembangkang PKR dikuasai DAP memenangi PRU14.


Tiada ulasan: