GERAKAN Pembela Ummah
Negeri Kedah (Ummah) gabungan 100 NGO Islam mengikuti secara dekat
berhubung isu pelantikan Menteri Besar dan pembentukkan kerajaan baharu
Negeri Kedah Darul Aman selepas PRU14.
Setelah meneliti dan mendapatkan
pandangan dari pelbagai pihak, Ummah berpendirian bahawa pembentukan
kerajaan baharu Negeri Kedah amat meragukan keabsahannya di sudut
Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.
Pendirian ini merujuk kepada kerajaan
baharu yang dibentuk tidak mendapat mojoriti mudah yang diperlukan untuk
membentuk sebuah kerajaan, sebaliknya kedudukan antara parti yang
pemerintah iaitu Pakatan Harapan (PH) berbanding pembangkang (PAS dan
BN) adalah seimbang iaitu 50 : 50 ataupun 18 Kerusi : 18 Kerusi.
Ummah turut dimaklumkan bahawa
pelantikan Menteri Besar Kedah tidak mendapat sokongan dari mana-mana
pihak parti pembangkang iaitu PAS mahupun BN sama ada secara individu
mahupun “End Block”.
Sebelum ini, Ummah dan rakyat Kedah
berpendapat dan dimaklumkan melalui akhbar dan media bahawa pelantikan
Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah setelah mendapat
sokongan dari mana-mana wakil rakyat Barisan Nasional mahupun PAS. Namun
setelah proses pelantikan sebagai Menteri Besar selesai disempurnakan
oleh Ke Bawah Duli Tuanku Al-Sultan Kedah, rakyat dikejutkan dengan
berita penafian serta penegasan dari pihak yang kononnya didakwa memberi
sokongan kepada Datuk Mukhriz Mahathir tersebut adalah suatu
pembohongan dan fitnah semata-mata. Sebaliknya, mereka tersebut kekal
sebagai Wakil Rakyat pembangkang di Dun Kedah.
Ummah melihat ada unsur yang meragukan
serta memperdayakan rakyat dan Istana Negeri Kedah dalam pelantikan
Menteri Besar yang bertentangan dengan mandat rakyat.
Bagi Ummah, jika difahami secara harfiah bahawa pelantikan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar adalah bias
dan tidak menepati kehendak yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh
Negeri Kedah. Ini dibuktikan dengan permohonan Menteri Besar sendiri
kepada blok PAS dan Umno untuk menyokong cadangan pelantikan Speaker Dun
Kedah, sedangkan beliau mendakwa mempunyai majoriti di dalam Dun Negeri
Kedah. Di mana majoriti tersebut?
Justeru, Ummah berpendapat, penyelesaian
terbaik ialah perlu diadakan suatu Pilihan Raya Negeri dengan segera.
Di mana, diserah kembali kepada rakyat Negeri Kedah untuk membuat
keputusan memberi mandat kepada mana-mana parti politik bertanding untuk
membentuk sebuah Kerajaan Negeri Kedah yang lebih stabil dan absah di
sisi undang-undang.
Bagi Ummah, adalah tidak wajar kemelut ini terus dibiarkan berlarutan kerana ia akan merugikan rakyat dan Negeri Kedah.
Berhubung kebimbangan jika diadakan
Pilihan Raya Negeri akan menyusahkan rakyat serta menanggung kos yang
tinggi, Ummah berpandangan ia bukan lagi isu yang perlu dibangkitkan
oleh mana-mana pihak. Ini kerana, keutamaan sekarang ialah memastikan
kerajaan yang memerintah adalah mematuhi peruntukan Undang-undang Tubuh
Negeri Kedah, di samping ingin mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih
stabil dan kukuh.
Hanya kerajaan yang stabil dan kukuh
sahaja dapat menguruskan pentadbiran dan memacu pembangunan negeri
dengan lebih berkesan, melaksanakan janji-janji dalam manifesto, di
samping menjadi faktor utama meningkatkan keyakinan pihak asing untuk
melabur di Negeri Kedah. Sebaliknya kerajaan yang lemah serta tidak
stabil akan merugikan rakyat dan Negeri Kedah.
Sesungguhnya, Pilihan Raya Negeri juga
merupakan suatu proses demokrasi yang diguna pakai dalam kaedah
mendapatkan mandat rakyat bagi sesebuah kerajaan. Lagipun, tidak ada
jaminan kepada rakyat Kedah bahawa tidak akan berlaku Pilihan Raya
Negeri di masa depan, memandangkan kedudukan parti pemerintah yang tidak
stabil dan lemah.
Oleh itu, Ummah meminta semua
parti-parti politik di Negeri Kedah boleh berlapang dada dan
mengutamakan kepentingan rakyat dan Negeri Kedah. HARAKAH DAILY
*USTAZ NOOR HAKIMI ABD HALIM ,Pengerusi Ummah Kedah -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan