Sabtu, 5 Mei 2018

Pemecatan tiga veteran Umno wajar, kata Rahman Dahlan

Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemecatan tiga veteran Umno dan bekas menteri kabinet hari ini memang wajar kerana mereka melanggar undang-undang parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman bin Dahlan.
 
Lembaga disiplin Umno memecat veteran Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim dari parti itu kerana berada di majlis pembangkang.
 
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan beliau telah menandatangani surat memecat ketiga-tiga bekas menteri itu.
 
"Memang itu undang-undang kita. Kalau berceramah atas pentas pembangkang, kita akan pecat," kata Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno.
 
Beliau yang juga calon Parlimen Sepanggar kecewa dengan tindakan mereka yang dahulunya sama-sama menerajui Umno kini beralih menyokong pembangkang dan membuat tuduhan yang jelas memihak kepada sebelah pihak.
 
Rahman juga mempersoalkan kredibiliti Rafidah yang rancak mempersoalkan tuduhan rasuah terhadap Datuk Seri Najib Razak tetapi takut untuk bertanyakan hal yang sama kepada mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini menerajui pakatan pembangkang.
 
Katanya, persoalan mengenai rasuah tidak seharusnya dipilih siapa yang akan menjawab tetapi lebih kepada kenapa hanya bertanya kepada satu pihak sahaja dan takut untuk bertanya kepada Dr Mahathir.
 
"Saya kecewa juga dengan Rafidah, Rais dan Daim sebab mereka bertanya tuduhan kepada perdana menteri mengenai pelbagai isu tetapi takut nak mempersoalkan Tun Mahathir mengenai tuduhan yang dilemparkan terhadap Tun Mahathir oleh pembangkang yang mengatakan Tun Mahathir ini diktator, perasuah besar, salah guna kuasa yang besar.
 
"Soalan saya kenapa Rafidah Aziz takut sangat nak tanya perkara ini. Jadi kalau nak bertanya tentang soal rasuah atau ragu-ragu tidak boleh memilih. Dia juga perlu berani bertanya kepada Tun Mahathir," ujarnya.
 
Abdul Rahman juga mempersoalkan keikhlasan bekas ahli veteran Umno itu yang hanya bercakap mengenai soal salah guna kuasa yang terpilih.
 
"Rafidah Aziz, Daim dan Rais tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap mengenai salah guna kuasa kerana mereka hanya bercakap tentang soal guna kuasa yang terpilih."
 
Katanya, pemimpin pembangkang termasuk Tun Mahathir juga terpalit dengan beberapa tuduhan dan juga rasuah, tetapi Tan Sri Rafidah Aziz tidak menyentuh mengenai hal itu.
 
"Tun Mahathir juga telah dituduh dengan pelbagai tuduhan, tetapi tidak pula diungkitkan oleh mereka.
 
"Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Azmin Ali juga menghadapi pertuduhan mengenai rasuah tetapi tidak disebut oleh Rafidah Aziz," tambahnya.
 
Mengenai sama ada Umno akan terkesan dengan pemecatan tiga bekas veteran Umno ini, Abdul Rahman berkata parti tidak akan terkesan kerana mereka mempunyai ramai pemimpin dalam parti itu dan zaman bekas veteran Umno ini sudah berlalu.
 
"Tidak ada. Umno mempunyai ramai pemimpin. Zaman mereka sudah berlalu," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: