MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mempunyai peluang
besar untuk menang kes saman fitnah terhadap laporan Sarawak Report yang
sesi pendengaran dilakukan di Mahkamah Tinggi London.
Peguam Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ia berdasarkan
keputusan mahkamah itu semalam, yang menolak kira-kira 50 muka surat
daripada 55 muka surat penyataan pembelaan editor penerbitan itu, Clare
Rewcastle-Brown.
Sehubungan itu, beliau yakin 70 peratus saman fitnah terhadap penerbitan terbabit akan berpihak kepada Abdul Hadi.
"Kini hanya tinggal 30 peratus yang akan diputuskan di mahkamah apabila
perbicaraan seterusnya dijadualkan pada April tahun depan.
"Peluang Tuan Guru Presiden PAS untuk menang saman ini, sekali gus
membersihkan namanya sangat besar," katanya ketika sidang media khas di
Masjid Rusila di sini, hari ini, lapor BH Online.
Semalam, Mahkamah Tinggi di London memerintahkan defendan membayar
STG41,400 (RM227,700) kepada Abdul Hadi sebagai kos bayaran guaman yang
perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.
Mahkamah juga menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April 2019.
Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah
Tinggi London pada 21 April 2017 lalu berkaitan laporan Sarawak Report
pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta
sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN)
dan Umno.
Takiyuddin berkata, sesi pendengaran kes itu semalam berlangsung empat
jam sebelum mahkamah dengan rasminya menolak sebahagian besar penyataan
pembelaan yang dibuat Rewcastle-Brown.
"Rewcastle-Brown juga secara rasminya meninggalkan permohonannya untuk
meminda pembelaan 'kebenaran' beliau bagi menggunakan rakaman audio satu
kenyataan yang didakwa dibuat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan juga
bekas Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz.
"Mahkamah juga menolak cubaan memperlewatkan dengan memohon perintah
mahkamah supaya diadakan perbicaraan berasingan terhadap persoalan sama
ada pembaca Sarawak Report memahami artikel berkaitan adalah merujuk
kepada Abdul Hadi.
"Pasukan peguam kita menolak cadangan defendan itu yang dilihat
hanyalah sebagai cubaan untuk lari daripada membawa isu sebenar kes
dalam perbicaraan," katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi dalam kenyataannya yang dibacakan Setiausaha
Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pihaknya berpuas hati
dengan keputusan mahkamah itu.
"Ia menjadi kemenangan moral kepada pihaknya dan juga ahli PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan