KUALA LUMPUR: Pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan
membabitkan jawatan Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri
Pertahanan belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan, tegas Naib
Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Ini katanya, sebarang keputusan mengenai pelantikan mestilah
dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti dalam Pakatan
Harapan (PH).
"Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kini dalam perjalanan ke
Hospital Rehabilitasi Cheras untuk berbincang dengan Ketua Umum PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelantikan ini.
"Kita yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan PH.
"Penjelasan ini dibuat kerana saya ditanya mengenai ketiadaan wakil PKR
di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan sebentar tadi,"
katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam laman rasmi
Rafiziramli.com, hari ini.
Terdahulu, Dr Mahathir menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng
selaku Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku
Menteri Dalam Negeri dan Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu
sebagai Menteri Pertahanan.
Tujuh lagi kementerian termasuk Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar,
Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia Sains dan Teknologi serta
Kementerian Luar akan diumumkan selewat-lewatnya minggu depan.
Beliau mengumumkannya pada satu sidang media selepas selesai mengadakan
mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Wisma Yayasan Selangor
awal petang tadi.
Selain itu, Dr Mahathir juga mengumumkan pelantikan lima tokoh
terkemuka negara untuk menjadi anggota majlis penasihat kerajaan.
Mereka adalah Tun Daim Zainuddin (bekas menteri kewangan), Tan Sri Zeti
Akhtar Aziz (bekas gabenor Bank Negara), Tan Sri Mohd Hassan Marican
(bekas presiden Petronas), Robert Kuok (ahli perniagaan), dan Prof Dr
Jomo Kwame Sundaram (pakar ekonomi)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan