MARANG: PAS menyerahkan kepada pihak istana untuk dipanggil menghadap
Sultan Terengganu setelah berjaya menguasai semula Terengganu pada
Pilihan raya Umum ke-14 ini.
“Itu akan atur, insya-Allah, itu terpulang kepada pihak Tuanku, pihak
istana,” kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada
sidang media di Dewan Tok Guru, Rusila sebentar tadi.
Berhubung dengan calon Menteri Besar, beliau berkata ia akan diumumkan kemudian.
“Itu ada dalam fikiran kami, akan diumumkan kemudian,” katanya dipetik Harakahdaily.net.
Mengenai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), beliau berkata
ia akan dipertimbangkan mengikut latar belakang calon PAS yang menang
kerusi DUN pada PRU14.
Ini, katanya kerana mereka terdiri daripada kalangan agamawan, profesional dan rakyat.
“Oleh kerana calon kita terdiri daripada berbagai kalangan, termasuk
agamawan, professional dan rakyat, Exco akan ditimbang mengikut peranan
yang munasabah,” jelasnya.
Ketika berucap sebelum itu, beliau menyeru ahli-ahli dan para penyokong
PAS supaya bersyukur di atas kemenangan yang dikurniakan oleh Allah
itu.
Beliau bagi pihak PAS juga mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membuat liputan sepanjang kempen PRU14.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Husain Awang berkata, PAS
Berjaya menguasai semula negeri ini setelah memenangi 21 daripada 32
kerusi DUN pada PRU14.
Beliau mengumumkan kerusi-kerusi DUN yang dimenangi iaitu Kota Putera,
Jabi, Tepoh, Buluh Gading, Bukit Tunggal, Wakaf Mempelam, Bandar,
Ladang, Batu Buruk, Alur Limbat, Bukit Payong, Ru Rendang, Pengkalan
Berangan, Manir, Kuala Berang, Rantau Abang, Sura, Paka, Kemasik, Cukai
dan Air Putih.
Bagaimanapun, jelas pihak PAS negeri sedang menunggu keputusan
perjumlahan undi bagi kerusi DUN Bukit Besi dan pengiraan semula bagi
kerusi DUN Ajil.
Menurutnya, jika PAS Berjaya memenangi dua kerusi Dun itu atau salah
satu daripadanya bermakna PAS mencapai kemenangan mutlak iaitu majoriti
2/3 daripada kerusi DUN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan