KUALA SELANGOR: Datuk Seri Najib Razak memulakan lawatan kerja di
daerah ini, hari ini dengan bersarapan bersama masyarakat setempat di
Restoran Mamak Signature, Puncak Alam, di sini.
Perdana Menteri tiba jam 8.50 pagi dengan diiringi Pengerusi Majlis
Tindakan Persekutuan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Barisan
Nasional (BN) negeri, Tan Sri Noh Omar
Turut hadir, calon BN kerusi Parlimen Kuala Selangor yang juga Ahli
Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim; calon DUN Jeram,
Zahar Azlan Arifin; calon DUN Ijok, K Parthiban dan calon DUN Bukit
Melawati, Jakiran Jacomah.
Najib yang turut menjamu putu mayam dan kari meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra bersama rakyat di restoran itu.
Beliau kemudian turut melawat Klinik Desa Bandar Puncak Alam (klinik
Ibu dan Anak) yang terletak di deretan premis kediaman berdekatan.
Sementara itu, bagi peniaga air kelapa, Mahir Abdullah, 48, dia bersama
isteri dan anak bongsunya berusia tiga tahun terharu berpeluang duduk
makan semeja dengan pemimpin nombor satu negara.
"Kami tiga beranak memang kerap bersarapan di restoran ini sebelum
memulakan perniagaan namun kenangan kali ini amat bermakna kerana dapat
bersama PM," katanya yang menetap di Fasa 3 Puncak Alam.
Keterujaan itu turut dikongsi penduduk yang juga pesakit autisme,
Mohamad Husni Mohamad Mazlan, 36, yang sanggup hadir awal untuk menemui
Najib.
"Saya berbangga kerana beliau bukan saja berjiwa rakyat, malah sentiasa
membantu semua golongan memerlukan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU)
sejak sekian lama," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan