Khamis, 3 Mei 2018

Nafi kafirkan Umno: Hadi cakap benar, kata pensyarah

Oleh Siti Nur Azizah Mohd Zaini
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang pensyarah berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap benar apabila menyatakan tidak pernah mengkafirkan Umno dalam satu kenyataan semalam.
 
Sebaliknya, beliau mendakwa, perbuatan itu dilakukan oleh ahli PAS yang sudah keluar parti dan menyertai parti-parti lain.
 
"Apa yang Hj Abdul Hadi sebutkan itu benar, kerana yang mengkafirkan Umno ini adalah bekas pemimpin PAS yang telah menyertai parti-parti lain, mereka ini adalah golongan yang terlalu ekstrem," kata Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.
 
"Ada golongan yang mengkafirkan Umno dalam PAS itu, cuma golongan ini bukanlah pimpinan utama dalam PAS," kata Kamarul Zaman kepada Antarapos hari ini.
 
Sebelum ini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad telah melabelkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sebagai kafir dan pengkhianat kerana bekerjasama dengan Umno.
 
Malah beliau juga turut mendakwa Hadi pernah melabelkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kafir apabila mengatakan Umno kafir.
 
Semalam, dalam ceramahnya di Kuah, Langkawi, Hadi menafikan PAS pernah mengkafirkan umat Islam lain tetapi sebaliknya mendakwa ia dilakukan oleh ahli partinya yang melompat menyertai Umno.
 
"Amanat (Amanat Abdul Hadi, 1981) itu tidak mengkafirkan Umno, beliau setakat menyebut bahawa mereka yang tercalon dan politik suku ini yang terkeluar daripada Islam, banyak golongan yang berpandangan begini.
 
"Tidak secara umum disebut bahawa Umno itu adalah kafir," ujarnya.
 
Kamarul menambah, tindakan Dr Mahathir ini jelas menunjukkan bahawa beliau sudah ketandusan isu apabila membangkitkan isu yang sudah hampir empat dekad berlalu.
 
Pemimpin kini perlu melihat masa hadapan untuk membentuk suasana politik yang lebih konstruktif dan matang, ujarnya.
 
"Itu benda-benda sejarah dan lama, sepatutnya pandang ke hadapan sahaja.
 
"Perkara yang dibangkitkan oleh Tun M sudah tidak relevan dan itu membuktikan beliau sudah ketandusan isu."
 
"Sedangkan sekarang ini, kita perlu menuju ke arah politik yang lebih konstruktif, objektif dan lebih matang."
 
 

Tiada ulasan: