Sabtu, 26 Mei 2018

Media berhak kritik, tegur pentadbiran kerajaan PH - Anwar

Dewi Nur Harasha Alias, Astro Awani
Media berhak kritik, tegur pentadbiran kerajaan PH - Anwar
ANWAR: Media, seperti suara rakyat, harus bebas untuk memberi pandangan dan teguran. - BERNAMA
 

SEBERANG JAYA: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pimpinan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat Pakatan Harapan (PH) supaya bersedia menerima teguran dan kritikan daripada pengamal media.

Katanya, pengamal media berhak untuk membuat kritikan yang bertujuan memberi kebaikan kepada corak pentadbiran Kerajaan PH kelak.

Ujarnya, jatuh bangun sesebuah negara dan pemimpinnya bergantung kepada laporan berita yang disiarkan pengamal media.

Justeru, sebagai wakil rakyat, mereka perlu bijak menangani semua kritikan yang dibuat terhadap mereka.

"Rakyat akan pantau, media sekarang lebih bebas dari dahulu. Media berhak menegur dan mengkritik kerajaan negeri dan persekutuan Pakatan Harapan.

"Sebab itu kita mesti terima kenyataan. Media, seperti suara rakyat, harus bebas untuk memberi pandangan dan teguran… dan pemimpin tidak harus bertindak melenting seperti UMNO, kita mesti sedia terima (kritikan) dan jawab," kata Anwar ketika berucap di hadapan kira-kira 5,000 penyokong PH di SP Arena di sini, malam tadi.

Menerusi ucapan julung kali di bumi Permatang Pauh itu juga,  beliau berterima kasih kepada rakyat kawasan itu yang disifatkannya amat setia apabila terus memberi kepercayaan kepada parti sehingga PH berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Katanya, beliau juga tidak akan melupakan jasa rakyat di seluruh negara yang telah membuat kejutan besar sehingga membawa kepada pembebasan dirinya.

"Seperti yang disebut ramai termasuk Nurul Izzah, saya takkan ada di sini kalau rakyat tidak menentukannya. Jadi saya berterima kasih.

"Saya sangat tergaru. Saya tidak akan lupa sehingga ke akhir hayat," tambahnya.

Tiada ulasan: