Ahad, 20 Mei 2018

Kini PAS matang dan sejahtera bersama HARAPAN

MALAYSIAKINI

   

PAS menawarkan sokongannya terhadap dasar Putrajaya yang dianggap mendorong kepada kebaikan dan ketakwaan, kata naib presiden parti itu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pada masa sama katanya parti itu akan menjadi pembangkang yang konstruktif dan berkesan ke arah kesejahteraan dan pembangunan negara.

"Ia selaras dengan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi pendekatan PAS kini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penjelasan itu agak berbeza daripada kelaziman PAS berurusan dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebelum ini yang lebih bersifat konfrontasi.

Untuk rekod sikap keras PAS berkenaan berlaku ketika HARAPAN masih menjadi pembangkang.

Sikap "matang dan sejahtera" itu bagaimanapun diamalkan PAS semasa berurusan dengan BN ketika parti terbabit masih menguasai Putrajaya sebelum 9 Mei lalu.

Kata Tuan Ibrahim kejayaan HARAPAN menumbangkan Umno dan BN telah memuka era baru dalam politik negara.

Justeru kata Tuan Ibrahim PAS akan meneruskan kerjasama yang baik dengan kerajaan pusat yang kini diterajui HARAPAN.

"Malah lebih dari itu, PAS bersedia menjadi rakan dialog dalam membangunkan negara di bawah konsep taawun siyasi," katanya.

Menang-menang untuk rakyat

Anggota parlimen Kubang Kerian itu berkata langkah tersebut sejajar dengan konsep federalisme yang menekankan pentingnya hubungan yang baik antara kerajaan pusat dan negeri.

Dalam PRU ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei lalu HARAPAN menumbangkan BN untuk menguasai Putrajaya, sekali gus menguasai hampir semua negeri di Semenanjung Malaysia.

BN hanya dapat mempertahankan Perlis dan Pahang. PAS pula mengekalkan penguasaan mereka di Kelantan, selain menawan Terengganu.

Kata Tuan Ibrahim pendekatan semak dan imbang diamalkan PAS akan membantu kerajaan melaksanakan pembangunan negara yang cemerlang.



"PAS dengan dasar Islam yang dibawa akan memperkasakan suasana harmoni antara kaum, memperkasakan jati diri rakyat Malaysia, khasnya di kalangan umat Islam," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim walaupun PAS bukan sebahagian daripada komponen HARAPAN, namun parti itu di Terengganu dan Kelantan perlu diambil kira.

Katanya dengan mempunyai 90 anggota dewan undangan negeri dan 18 orang anggota parlimen di seluruh negara PAS memperoleh sokongan lebih dua juta pengundi.




"Ia bukanlah angka yang kecil. Maka langkah terbaik ialah menjadikan PAS rakan dialog di negeri dan persekutuan," katanya.

Pada masa sama Tuan Ibrahim mengingatkan budaya politik konflik, fitnah dan bermusuh perlu ditinggalkan kerana hanya melahirkan sikap bosan dan menyampah di kalangan rakyat.

"Peranan PAS sebagai rakan dialog dan juga pembangkang yang berkesan pastinya situasi menang-menang untuk rakyat dan kerajaan Persekutuan ditunjangi HARAPAN," katanya.

Tiada ulasan: