Selepas 'terduduk' kerana ditolak majoriti rakyat yang mengundi minggu lalu, timbul gesaan supaya Umno mengubah bentuknya berbanding sebelum ini.
Justeru salah seorang pemimpin kanan parti itu melihat kepada kemungkinan mereka meniru model parti lain.
Misalnya menurut Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Umno perlu melaksanakan kutipan dana melalui sumbangan awam - langkah yang baru-baru ini diuar-uarkan oleh PAS.
Kata ketua Pemuda Umno itu langkah berkenaan perlu dibuat kerana mereka bukan lagi menjadi kerajaan persekutuan.
"Walaupun kita akan menyalurkan apa yang kita mampu tetapi janganlah setiap kali kita kena fikir soal duit.
"Mesyuarat cawangan dan bahagian hendak diadakan, kena duit. Buatlah secara berhemah dan berpada-pada," katanya dalam temu bual disiar akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Khiary menambah, Umno mungkin perlu meneroka langkah lebih jauh seperti dilakukan parti lain.
"Ahli beri duit, kita buat crowdfunding dan penderma buat secara telus atas talian," katanya.
Umno adalah parti terbesar dalam BN yang mentadbir negara ini sejak pilihan raya umum (PRU) pertama, sehinggalah mereka diketepikan rakyat pada 9 Mei lalu.
Kedudukan mereka menjadi kerajaan membolehkan pelbagai bantuan disalurkan kepada parti di peringkat bawahan.
Bagaimanapun keadaan berubah dengan drastik apabila Putrajaya kini ditadbir oleh Pakatan Harapan (HARAPAN). Kejayaan HARAPAN juga menyaksikan satu demi satu penyokong serta pemimpin Umno bertindak drastik - sama ada meletak jawatan atau cuba menyeberang ke pihak yang menang.
Kesukaran Umno untuk bangkit selepas kalah dapat disaksikan di Selangor sejak 2008.
Parti bukan berasas kaum
Menurut Khairy lagi untuk memulihkan Umno semua pihak perlu mengambil tanggungjawab bersama dan mengakui kekalahan mereka bukan semata-mata kerana Datuk Seri Najib Razak.
Menekankan perlunya menolak budaya negatif, anggota parlimen pembangkang mewakili Rembau itu menjelaskan Umno perlu lebih terbuka, progresif dan mudah menerima pemimpin baru.
"(Umno perlu menjadi) satu parti yang tidak bongkak serta tidak angkuh," katanya.
Turut perlu diubah, kata Khairy, cara mereka bermesyuarat.
"Cara kita buat perhimpunan agung pun kena ubah. Buat masa ini kita sudah sudah, buat apa kita buat perhimpunan agung yang gah sampai empat lima hari.
"Parti lain buat sehari saja tapi boleh menang (jadi) kerajaan," katanya.
Tidak cukup dengan itu Khairy juga menyeru supaya diwujudkan 'DNA pembangkang' dalam partinya seperti apa yang ada dalam parti pembangkang sebelum PRU ke-14.
"(Ia adalah) DNA Umno yang boleh diterima rakyat dan bukannya DNA pemerintah.
"Kalau masih dengan DNA pemerintah, tidak ada sesiapa yang boleh selamatkan Umno," katanya.
Selain itu Khairy berkata Umno juga perlu memikirkan kemungkinan kewajaran mereka menjadi parti berasaskan kaum.
Katanya idea menjadikan parti itu dianggotai perlbagai kaum perlu dipertimbangkan walaupun ada pihak tidak menerimanya.
"Mungkin akar umbi Umno sekarang masih (mahu) kekal dengan formula lama. Tetapi bagi saya kita kena memikirkan segala kemungkinan.
"Apakah hari ini kita perlu tubuhkan hanya satu parti iaitu Umno, atau masih dengan sistam lama - MCA, MICA, Umno dan sebagainya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan