Selasa, 22 Mei 2018

Kabinet baharu bergerak sebagai satu pasukan bangunkan Malaysia - Wan Azizah

ASTRO AWANI

Kabinet baharu bergerak sebagai satu pasukan bangunkan Malaysia - Wan Azizah
WAN AZIZAH: Saya akan bincang dengan Perdana Menteri mengenai hala tuju seterusnya.
 
 
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan Kabinet baharu yang dibentuk akan bergerak sebagai satu pasukan dalam memastikan agenda membangunkan negara berjalan lancar dan teratur.

Presiden PKR itu berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersama membangunkan Malaysia yang baharu.

"Saya bersyukur majlis angkat sumpah (jawatan) berjalan dengan lancar dan (pada Selasa) saya akan bincang dengan Perdana Menteri mengenai hala tuju seterusnya dan membantu agar Kabinet di bawah Tun Dr Mahathir berjalan lancar," katanya.
 
Beliau ditemui pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara pada Isnin.

Dr Wan Azizah menganggap pemilihan beliau selaku wanita pertama memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di negara ini sebagai satu penghormatan yang besar buat semua wanita Malaysia.

"Saya berharap peranan saya (selaku timbalan perdana menteri) ini akan meningkatkan sensitiviti gender dalam perjalanan pentadbiran hari ini dan (sasaran) penglibatan wanita 30 peratus (dalam barisan pembuat dasar) yang kami uar-uarkan dapat kami laksana dengan menyeluruh lagi," katanya.

Mengenai portfolio selaku Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Dr Wan Azizah berkata beliau sedang merancang untuk membangunkan dan menambah baik prestasi kementerian berkenaan.

"Banyak saya fikirkan... antaranya dasar-dasar berkaitan wanita, dasar keluarga dan sebagainya kerana kementerian ini luas (sifatnya), merangkumi peringkat belum lahir sampai akhir hayat.

"Tapi buat masa ini kami akan tumpu (aktiviti) pada bulan Ramadan untuk mengimarahkan Ramadan dan mengisi Ramadan ini dengan lebih baik," katanya.-- BERNAMA
 
 

Tiada ulasan: