Jumaat, 4 Mei 2018

Hari ke-6: Ramalan Daim, pertembungan di kawasan Melayu

MALAYSIAKINI

   
PRU14 | Pada hari keenam kempen, Daim yang menjangka dengan tepat keputusan PRU 2008 dan PRU 2013 sekali lagi mengemukakan pemerhatiannya.

Sementara itu, dakwaan skandal seks yang tidak asing lagi dalam politik Malaysia muncul kali pertama untuk tempoh kempen ini.

Berikut beberapa isu dan peristiwa yang berlaku pada hari terakhir separuh masa pertama kempen PRU ke-14:

Ramalan Daim

Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dikatakan meramalkan BN akan kalah di lima negeri pada PRU 2008 dan mendapat keputusan yang lebih buruk pada PRU 2013.

Ramalan itu ternyata tepat.

Kali ini, Daim berkata PAS akan tumbang di Kelantan, manakala BN akan kalah di Perak dan Kedah. Di Johor dan Sabah, beliau berkata peluang BN adalah "50-50".

Di Negeri Sembilan pula, beliau berkata HARAPAN akan berpeluang jika mempunyai calon menteri besar yang sesuai, tetapi menganggap gabungan pembangkang itu sukar menembusi kubu Umno di Melaka.



Bagaimanapun situasi beliau kini berbeza berbanding dua PRU lalu apabila turun secara langsung berkempen untuk HARAPAN.

Selainnya turut dilihat cenderung terhadap HARAPAN adalah Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor hari ini berkata parti itu akan meneliti pembabitan tokoh veteran parti itu dengan HARAPAN dan kenyataan mereka yang menghentam kerajaan.

Skandal seks pemimpin AMANAH

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya anggota AMANAH hari ini mendakwa seorang pemimpin tinggi parti itu terlibat dalam skandal seks dan berkata akan mendedahkan bukti video jika pemimpin itu tidak memberikan maklum balas dalam masa 36 jam.

Rizal Abu Bakar menunjukkan klip audio tiga gambar tangkap layar perbualan WhatsApp yang didakwa antara pemimpin itu dengan seorang wanita.



Ketika sidang media, pemberita berulang kali meminta Rizal menunjukkan lebih banyak bukti sehingga mengejarnya hingga ke kereta namun dia hanya berkata akan berbuat demikian dalam masa 36 jam.

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menyifatkannya hanya agenda politik kerana hanya dibuat ketika tempoh kempen PRU.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama pemimpin parti tersebut menanti ulasan beliau.

HARAPAN di pedalaman dan kawasan Melayu

Malaysiakini hari ini menyiarkan analisis tentang kempen HARAPAN di beberapa negeri dengan strategi fokus kepada program kecil-kecilan - seperti ceramah kelompok - di kawasan pedalaman dan perkampungan Melayu, berbanding ceramah besar di bandar.

Ia strategi yang sekian lama digunakan BN dan kali ini BERSATU, PKR dan AMANAH mencabar BN di gelanggang mereka sendiri.

Pada masa sama, Penasihat Kajidata Research Profesor Syed Arabi Idid dilaporkan berkata kajian mereka mendapati 45 peratus daripada responden Melayu berpendapat sokongan masyarakat itu terhadap Pakatan Harapan akan meningkat.

Ibu mula kempen, Nik Omar keluar Kelantan

Seperti yang dinyatakan Nik Abduh Nik Abdul Aziz, ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak hari ini mula berkempen untuk PAS di DUN Chempaka yang ditandingi Nik Omar.



Tuan Sabariah juga akhirnya membuka mulut berhubung langkah anak keduanya itu dengan menyifatkannya sebagai dugaan Tuhan terhadapnya.

Nik Omar pula mengembangkan kempennya ke peringkat nasional dengan menghadiri beberapa program di Lembah Klang dan berkongsi pentas dengan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Malah dirinya yang kelihatan lemah-lembut juga dilihat lebih agresif, apabila membalas cerita 'mimpi Nik Aziz' yang sebelum ini dimulakan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Selain Putrajaya, Mahathir juga menjengah sebuah lagi kubu kuat BN hari ini iaitu Pekan - kawasan Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Tiada ulasan: