Sabtu, 5 Mei 2018

Calon BN Pasir Mas janji hapus cukai kepala bakul

Manzaidi Mohd Amin
Nor Azmawi bertanya khabar dengan peniaga kecil Pasar Besar Tasik Raja dan berjanji akan hapuskan bayaran 'tol' dan cukai kepala bakul.
Nor Azmawi bertanya khabar dengan peniaga kecil Pasar Besar Tasik Raja dan berjanji akan hapuskan bayaran 'tol' dan cukai kepala bakul.
 

PASIR MAS – Tahu merungut saja, tetapi tidak pandai membuat pilihan pun tiada gunanya.

Harap-harap Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini tiada lagi rungutan dan keluhan kerana rakyat Pasir Mas dan Kelantan khususnya sudah bijak membuat penilaian.

Begitulah yang berlaku kepada peniaga kecil di seluruh negeri di Kelantan, termasuk di pasar baharu Pasir Mas, yang kebanyakan peniaganya adalah golongan wanita.

Hampir setiap hari luahan mereka ialah jualan merosot, tetapi perlu bayar ‘tol’ dan kepala bakul yang berjumlah lebih RM10 sehari kepada kerajaan negeri, yang dikutip melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

Selain perlu membayar cukai wajib harian, peniaga kecil juga merasa tertindas apabila tempat lama dirobohkan dan disediakan tempat baharu yang sempit, tidak strategik dan tersusun.

Justeru, menyedari masalah itu, Barisan Nasional (BN) Kelantan pimpinan Datuk Seri Mustapa Mohamed berjanji jika beliau dan seluruh pimpinan BN diberi mandat memerintah, semua masalah itu akan diselesaikan serta merta.

Janji ini sepatutnya diterima baik oleh peniaga kecil di Pasar Besar Tasik Raja, Pasir Mas.

Calon BN bagi Parlimen itu, Nor Azmawi Abd Rahman yang meninjau keadaan di pasar itu menyatakan kepada peniaga berkenaan bahawa semua masalah yang dihadapi mereka akan diselesaikan segera.

“Saya masuk ke pasar ini, saya dengar keluhan mereka. Mereka merungut kena bayar ‘tol’ dan kepala bakul, saya kata kepada mereka, dua perkara ini akan dihapuskan kalau BN menang,” katanya.

Beliau juga berjanji akan menyusun atur semula zon peniaga yang dilihat berada dalam kedudukan tidak sistematik di bawah pengurusan Majlis Daerah Pasir Mas (PDPM).

Katanya, kerajaan baharu BN Kelantan juga akan memberi sewa percuma selama tiga bulan untuk peniaga yang hendak memulakan perniagaan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: