Selasa, 22 Mei 2018

Bahri kembali ke SPRM, mungkin sertai siasatan SRC, 1MDB

Hafiz Yatim 

   

Tiga tahun lalu, ketika polis mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap SRC International, pengarah bahagian operasi khasnya ketika itu Datuk Bahri Mohd Zin berikrar untuk mencari dalang yang mengganggunya "sehingga ke lubang cacing".

Pegawainya disiasat dan pejabat mereka diserbu polis, malah timbalan pendakwa raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairi ditahan.

Bahri, bersama-sama seorang lagi pegawai kanan, Rohaizad Yaakob, kemudian dipindahkan dari SPRM ke Pejabat Perdana Menteri - sama seperti bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Abdul Hamid Bador.

Bahri dan Rohaizad kini kembali selepas pertukaran kerajaan berikutan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU ke-14.

Bahri yang bersara awal tahun lalu kini berpeluang untuk mencari pihak yang bertanggungjawab mengarahkan polis mengganggu SPRM dan pegawainya.

Beliau kemungkinan akan diberi peluang menyelesaikan misinya itu apabila kembali menjadi pengarah bahagian operasi khas SPRM.

"Ya, saya akan kembali melapor diri hari ini," katanya kepada Malaysiakini. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkara itu.




Minggu lalu, Bahri (gambar) dipetik berkata Tuhan telah memakbulkan doanya selepas HARAPAN yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad menumbangkan BN pada PRU ke-14.

Perkembangan ini selepas bekas ketuanya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull kembali ke SPRM sebagai ketua pengarah berkuatkuasa semalam.

SPRM panggil Najib

Seperti namanya, jabatan Bahri adalah untuk menyiasat kes-kes khas - yang melibatkan wang berjumlah lebih daripada RM1 juta dan kes sensitif melibatkan dana awam.

Bahagian itu dikatakan telah menyiasat SRC - sebelum ini subsidiari 1MDB - terutama berhubung wang RM42 juta yang dipindahkan ke akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sumber menyifatkan siasatan SRC adalah kes yang tidak kompleks, bukan seperti kes 1MDB yang melibatkan beberapa negara. Ia bagaimanapun terhalang akibat tindakan polis.

Bahagian itu juga dikatakan telah dikecilkan ketika SPRM diketuai Tan Sri Dzulkifli Ahmad, dan difahamkan ia akan dikembalikan seperti sebelumnya.

Ironinya, Najib dijadualkan hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini untuk memberi keterangan antara lain berhubung kes SRC itu.

Bahri dijangka akan menyambung kembali tugasnya untuk menyiasat Najib, SRC dan juga 1MDB.

Sebelum ini, mereka dinafikan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk membolehkan mereka ke luar negara dan berkerjasama dengan penyiasat di sana yang menyiasat skandal itu.

Pada Januari 2016, Apandi membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan berkaitan siasatan SPRM.



Tiada ulasan: